SINAR HARIAN
SUNGAI BESAR – Program ziarah Aidilfitri yang dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam sempat mengunjungi Pusat Rawatan Dialisis Cawangan Sungai Besar dalam usaha memberi peluang kepada pembayar-pembayar zakat melihat sendiri operasi sesebuah rawatan dialisis dijalankan.
Ketua Operasi Zakat Wilayah Utara, Huzairi Ibrahim berkata, seramai 70 pembayar zakat terdiri daripada individu, syarikat perniagaan, wakil korporat dan wakil jabatan-jabatan daerah Kuala Selangor di bawa melawat ke tempat-tempat yang berada di bawah pengurusan LZS.
Antaranya, kata Huzairi termasuklah kunjungan ke hospital, lawatan ke rumah orang tua, penempatan wanita bermasalah dan pusat rawatan dialisis itu sendiri.
Jelas beliau, usaha itu dilakukan agar pembayar-pembayar zakat yang terbabit dapat melihat sendiri ke mana arah tuju bayaran zakat yang telah mereka laksanakan.
“Secara tidak langsung ia mendorong jabatan atau pihak syarikat-syarikat lain yang berkemampuan mengeluarkan zakat untuk berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, selain Kuala Selangor, LZS turut mengadakan program yang sama untuk pembayar-pembayar zakat bagi daerah Sabak Bernam.
“Ini adalah siri ziarah yang kita lakukan setiap tahun untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pembayar zakat bahawa setiap pembayaran yang ditunaikan mereka disalurkan kepada kategori-kategori asnaf yang layak menerima zakat tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan