Rabu, 29 Oktober 2008

Boleh ambil Syabas, tapi jangan beban pengguna

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor boleh mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tetapi perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan menawarkan tarif air yang tidak membebankan selepas pengambilalihan itu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kementerian juga mahu memastikan pengambilalihan itu menepati syarat dan peraturan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kami perlu memastikan tarif (yang bakal dikenakan) berpatutan. Katakan kerajaan negeri beli dari Syabas dengan premium yang tinggi (kemungkinan) kerajaan juga akan jual air pada harga yang tinggi kepada para pengguna kerana siapa yang akan membiayai keseluruhan transaksi. Itu merupakan kebimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Persidangan ‘My Broadband’ 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Shaziman turut memberitahu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada Rabu lepas bagi mendapatkan penjelasan perkara yang berkaitan pengambilalihan Syabas.

“Kita beritahu Kerajaan Negeri Selangor.. jika mereka boleh mempercepatkan keseluruhan proses, mungkin kita boleh tangguhkan sementara waktu (kenaikan tarif air pada tahun hadapan),” katanya.

“Tetapi, kita memerlukan mereka menyerahkan kesemua aset kepada PAAB (Pengurusan Aset Air Bhd) dengan segera supaya SPAN boleh mengkaji perkara itu,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju tetapi Shaziman berkata “persetujuan satu perkara, untuk menzahirkannya merupakan satu perkara lain.”

Selasa lepas, kerajaan negeri Selangor menyatakan ia akan mengambil alih Syabas jika dapat memuktamadkan satu perjanjian yang boleh memanfaatkan rakyat dan negeri itu.

Khalid berkata negeri itu sedang melakukan usaha terbaik untuk menstruktur semula sistem bekalan air bagi memastikan para pengguna membayar pada kadar paling minimum yang mungkin bagi mendapatkan air.

Bagaimana pun, Khalid berkata beliau tidak boleh mendedahkan kos pengambilalihan itu kerana ia akan hanya didedahkan selepas perjanjian dimuktamadkan.

Katanya, beliau akan dapat melakukan perkara itu menjelang Disember.

Tiada ulasan: