Lanjusoh
MACHANG - Mampukah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyempurnakan segala perancangannya dalam tempoh berbaki lima bulan lagi, sedangkan empat tahun yang sudah berlalu beliau tidak mampu membuat perubahan.
Banyak impiannya bagi mengemudikan negara ke arah lebih adil dan telus hanya tersadai di tengah jalan. Apa sudah jadi dengan pelbagai suruhanjaya yang diwujudkan sepanjang pemerintahannya.
Begitu juga dengan Suruhanjaya Penambaikan Polis yang dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Suruhanjaya itu diharap dapat memperbaiki imej polis yang banyak tercemar, namun sekarang suruhanjaya itu tidak lagi kedengaran.
Begitu juga dengan Koridor Pembangunan Wilayah, rakyat belum dapat melihat hasilnya sehingga sekarang, biar pun gimik pelancaran melibatkan kos puluhan juta.
Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, empat tahun Perdana Menteri tidak sempat untuk memulih negara dalam isu rasuah, institusi polis dan badan perundangan.
"Biar pun usaha dilakukan ke arah membetulkan semula institusi tersebut yang begitu parah sepanjang 22 pentadbiran Perdana Menteri sebelumnya, namun sehingga sekarang ia tidak berhasil.
"Inikan pula masa berbaki hanya kira-kira lima bulan sebelum Mac 2009, Perdana Menteri tak mungkin dapat melakukan perubahan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi berkenaan," katanya pada ceramah di Batu 30, dekat sini, malam semalam.
Hadir sama anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Machang, Dato' Hassan Muhamad dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.
Saifudin yang juga Pengaran Strategik KeADILan berkata, keadaan Umno sekarang semakin parah dengan perbalahan sesama sendiri yang berlaku di seluruh negara.
Menurutnya, bagaimana Umno mahu parti-parti kompenan dalam Barisan Nasional (BN) menghormatinya memandangkan masalah dalaman parti itu sendiri semakin teruk.
"Parti Maju Sabah (SAPP) sudah mengumumkan keluar daripada BN sehingga menyebabkan jumlah anggota parlimen BN berkurang kepada 138 orang.
"Manakala kemenangan percuma BN di Pensiangan, Sabah pula dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Ini menyebabkan jumlah anggota parlimen BN menurun lagi kepada 137 orang sekarang.
"Pakatan Rakyat hanya memerlukan 27 lagi wakil rakyat untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk di peringkat persekutuan," ujarnya.
Beliau juga percaya Umno tidak mampu lagi menerajui BN kerana sibuk menyelesaikan krisis dalaman parti itu yang semakin parah.
Dr Mohd Hatta pula mendedahkan calon-calon yang bertanding merebut jawatan ketua bahagian dan Majlis Tertinggi Umno menghabiskan begitu banyak wang sehingga mencecah jutaan ringgit bagi menarik undi perwakilan.
Menurutnya rasuah politik dalam Umno sudah menjadi perkara biasa dan apabila menang tentunya mereka akan mendapat lebih banyak lagi wang daripada projek-projek kerajaan persekutuan. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan