Sungai cetek dan projek tebatan belum siap antara punca banjir berterusan
BERNAMA
ALOR STAR: Limpahan air kerana sungai yang cetek dan projek tebatan banjir yang belum siap adalah antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir serius di Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Beliau berkata projek tebatan banjir di Kedah sebenarnya belum siap sepenuhnya dan ia menyebabkan masalah banjir masih belum dapat diatasi sehingga hari ini.
"Apabila hujan lebat masalah yang sama akan timbul dan tidak ada banyak yang dapat dilakukan selain daripada beri bantuan kepada mangsa banjir kerana limpahan air akan berlaku selagi projek tebatan banjir belum siap," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya sebagai negeri pengeluar utama padi Kedah mempunyai banyak peparitan untuk mengawal dan menyalurkan bekalan air ke sawah dan disebabkan itu projek tebatan banjir haruslah diberi keutamaan.
Projek tebatan banjir Sungai Muda di Kuala Muda Kedah dimulakan sejak Rancangan Malaysia ke-8 lagi.
Azizan berkata kerajaan negeri juga berharap agar pengurusan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) dapat menyegerakan projek menaik taraf infrastruktur awam kerana sistem perparitan adalah termasuk dalam projek infrastruktur awam.
Katanya kerja-kerja projek tebatan banjir dan projek NCER adalah projek di bawah kerajaan pusat.
Sementara itu Pegawai Daerah Yan Ahmad Fisol Md Nor ketika dihubungi berkata daerah itu sering dilanda banjir yang terburuk dalam negeri kerana keadaan sungai yang cetek.
Beliau berkata walaupun Jabatan Parit Dan Saliran (JPs) menjalankan kerja-kerja pelebaran sungai dari Sungai Malai sehingga ke Sungai Udang sejauh lebih 12 kilometer, namun ia masih belum mampu menampung limpahan air ketika hujan lebat.
Permohonan peruntukan untuk projek mendalamkan sungai itu pernah disuarakan oleh bekas anggota parlimen Jerai Datuk Badruddin Amiruddin sejak beberapa tahun lepas namun ia masih belum mendapat sebarang maklum balas sehingga sekarang.
Ahmad Fisol berkata projek mendalamkan sungai di daerah Yan memerlukan perbelanjaan yang tinggi ekoran dasar sungai itu adalah jenis batu hampar dan tidak boleh dikorek oleh jentera secara biasa.
No comments:
Post a Comment