K'jaan didesak kaji semula kadar tol
MALAYSIAKINI
Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan (AMKWP) mendesak agar kerajaan mengkaji semula kadar tol, bagi mengurangkan beban pengguna, terutama di sekitar Lembah Klang yang dihimpit kenaikan harga barangan keperluan yang lain.
Oleh itu, AMKWP meminta proses perbincangan untuk menurunkan harga tol dengan syarikat konsesi wajar dipercepatkan kerana rakyat semakin dibebani kos perbelanjaan yang tinggi.
"Perkara ini wajar diberi perhatian serius memandangkan harga tol yang tinggi akan meningkatkan perbelanjaan pengangkutan mereka yang tinggal di bandar," kata Ketua AMK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Md Zaman Md Tasi.
"Sebelum ini kerajaan memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan setiap pemegang konsesi bagi mengurangkan kadar tol dan dijangka memakan masa tiga bulan untuk mendapatkan keputusan.
"Namun sehingga sekarang masih belum dapat di pastikan apakah hasil dari perbincangan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AMKWP, katanya, mahu agar hasil perbincangan itu dapat diumumkan kepada rakyat bagi melihat sejauhmana harga baru itu dapat diterima mereka dan seterusnya memastikan tiada penyelewengan dari kutipan tol tersebut.
Menurutnya, AMKWP juga mahukan penjelasan dari kerajaan mengenai hasil kajian yang dijalankan tidak pernah diberitahu kepada umum dan "mereka hanya menerima hasil perbincangan itu tanpa boleh menyuarakan pendapat".
'Ambil alih konsesi tol'
"Para pengguna juga harus diberikan saluran untuk menyuarakan pendapat mengenai hasil kajian yang dijalankan pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol.
"Rakyat tidak mampu lagi terus menerus membayar harga tol tanpa ada kepastian bilakah ianya akan berakhir.
"Melalui cara ini, mereka juga dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai hasil kajian tersebut kerana mereka merupakan golongan yang akan menggunakan lebuh raya tersebut," katanya.
Md Zaman berkata, pihak berpendapat, kerajaan seharusnya mengambil-alih sepenuhnya konsesi tol di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengawal sepenuhnya harga tol.
"Kerajaan perlu telus dan amanah sebagai membalas kepercayaan rakyat yang memilih mereka menerajui negara," katanya.
Beliau mendakwa, keuntungan daripada konsesi tol hanya dapat dinikmati sebelah pihak sahaja dan "ini secara tidak langsung akan memberi bebanan kepada pengguna".
Pihak konsesi, dakwanya, hanya melihat kepada aspek perniagaan tanpa memikirkan permasalahan pengguna terutama yang berpendapatan rendah.
"Apabila kerajaan mengambil alih konsesi tol yang ada di negara ini, hasil keuntungan daripadanya akan disalurkan kembali kepada pengguna dan secara tidak langsung dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan lebih berkebajikan," katanya.
No comments:
Post a Comment