Thursday, September 25, 2008

Peruntukan tambahan untuk mangsa bencana alam
SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan menyediakan peruntukkan tambahan dalam usaha membantu mangsa bencana alam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata peruntukkan tambahan sebanyak RM2 juta itu akan digunakan sekiranya dana yang diperuntukkan di setiap daerah tidak mencukupi.

“Kita akan gunakan peruntukan tersebut berasaskan keadaan dan jika mana-mana dana yang disediakan di setiap daerah tidak mencukupi.

“Kita berharap peruntukan tersebut dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata berkenaan pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco, di sini, semalam.

Menurut Rodziah, hampir 2,300 rumah terlibat dalam bencana ribut yang berlaku sepanjang bulan ini.

“Kita semua tahu sepanjang bulan Ramadan ini berlaku bencana ribut di beberapa daerah di Selangor dan kerajaan negeri sedikit sebanyak membantu dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa berkenaan,” katanya.

Dua kejadian ribut dilaporkan iaitu di Kapar, Klang dan Tanjung Karang yang menyebabkan mangsa hilang tempat perlindungan serta terpaksa menanggung kerugian yang besar.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkata, pihaknya telah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Pegawai Daerah mengenai operasi berkaitan bencana alam.

“Kita telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika bencana tersebut akan berlaku lagi di negeri ini kerana menurut laporan daripada Jabatan Meteordologi, bencana ini dijangka akan berterusan sehingga hujung bulan ini.

“Malah, semua pejabat pegawai daerah diarahkan bersiap sedia menghadapi bencana tersebut,” katanya.

Tambah Rodziah, kerajan negeri telah membaiki hampir kesemua rumah yang terlibat dalam bencana tersebut.

“Kita juga memperuntukkan sejumlah RM25,000 untuk membaiki rumah yang rosak teruk akibat bencana berkenaan.

“Walaupun kita tidak mampu membaiki keseluruhannya, kita cuba sedaya upaya memberi bantuan seadanya supaya masalah ini dapat diatasi serta meringankan beban mereka,” katanya.

Rodziah pada sidang media yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco, semalam.

No comments: