Wednesday, September 24, 2008

Gerakan terus berada dalam keadaan sukar
BERNAMA


PULAU PINANG: Gerakan, satu daripada "pengasas" gabungan parti Barisan Nasional (BN) dengan kira-kira 250,000 anggota, kini berada dalam keadaan sukar.

Parti itu kini tersepit dengan desakan anggota akar umbi yang mahu ia menilai semula antara keberkesanan parti pemerintah berikutan prestasi buruknya pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dan kesetiaannya dengan anggota BN.

Perkara itu jelas menghangatkan lagi suhu dalam parti itu sehingga ke tahap Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan, badan tertinggi membuat keputusan, terpaksa mengadakan enam mesyuarat bagi membincangkan isu itu dengan yang terakhir pada Sabtu lepas, sehari sebelum pemilihan Gerakan Pulau Pinang.

Akhirnya, CC merumuskan bahawa parti itu perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan perkara itu dan bukannya membincangkannya semasa Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) jika anggota parti bertegas untuk membahaskannya, kata seorang sumber parti yang enggan dikenali kepada Bernama.

CC parti berpendapat forum yang betul bagi membincangkan isu sensitif itu adalaha semasa EGM dan bukannya NDC kerana "semasa NDC, banyak lagi isuisu lain yang perlu dibincangkan tambahan pula tahun ini merupakan tahun pemilihan parti.

"Kelihatannya semua orang sedang mendesak (Tan Sri) Dr Koh (Tsu Koon) untuk membuat keputusan. Mereka mahu beliau membuat pendirian mengenai perkara ini," kata sumber dalam parti itu.

Mesyuarat terakhir CC juga mahu Dr Koh menemui perwakilan dan anggota untuk menjelaskan tentang pro dan kontra terhadap pendirian yang diambil

"Sebelum mengadakan EGM, pucuk pimpinan parti, khususnya Presiden, mestilah menerangkan dengan jelas mengenai perkara itu. Ia sepatutnya tidak menghalang perbincangan yang berterus terang secara tertutup, barulah anggota boleh memutuskan sendiri apa yang mereka mahu," katanya.

Banyak anggota berpendapat mereka tidak perlu terlalu emosi dalam membincangkan perkara itu dan mestilah sentiasa rasional serta objektif kerana isu yang dibincangkan amat sensitif.

Sebilangan pemimpin parti telah menuding jari kepada Dr Koh kerana membiarkan isu itu berlanjutan dan berdiam diri hanyak menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti.

"Ini bukannya mengenai saya. Ia adalah mengenai masa depan parti. Ideologi dan prinsip yang telah diputuskan oleh nenek moyang kita dan anggota veteran sebelum ini.

"Ia adalah semasa kemuncak kes (Datuk) Ahmad Ismail saya menerima panggilan daripada Tun Dr Lim Chong Eu (bekas presiden Gerakan dan anggota pengasas) yang mengingatkan saya bahawa Gerakan adalah anggota parti pengasas Barisan Nasional," kata Dr Koh, bekas ketua menteri Pulau Pinang, semasa menjawab kritikan tajam mengenainya.

Anggota veteran parti, Tan Sri Dr Chin Fook Win menjelaskan bahawa Gerakan yang menyokong Parti Perikatan yang dianggotai Umno, MCA dan MIC, untuk membentuk parti gabungan bagi mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Itulah yang menjadi asas kewujudan BN. Kami kini perlu menerangkan perkara ini dengan terperinci. Bagaimana BN ditubuhkan dan sebagainya. Hakikatnya, kami adalah anggota pengasas BN," kata Dr Chin, sambil menambah kata bahawa ini bukan masanya untuk Gerakan bersikap tidak sabar.

BN secara rasminya didaftarkan pada 1 Julai, 1974.

Selain UMNO, MCA dan MIC, BN kemudiannya dianggotai enam parti lain, yang sebelum itu adakah parti pembangkang.

Parti berkenaan adalah PAS (yang kemudiannya dikeluarkan daripada BN), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputra dan USNO dari Sabah.

Hanya DAP dan PSRM enggan menyertai gabungan parti itu.

Keanggotaan BN sejak itu semakin bertambah menjadi 14 tetapi berkurangan menjadi 13 apabila Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada BN minggu lepas.

"Kami perlu berfikiran waras dan rasional terhadap sesuatu perkara. Kami belum menemui jalan buntu lagi."

"Inilah bayi (BN) yang kita bantu melahirkannya. Ia satu ujian yang berjaya. Adalah penting untuk kita menoleh ke belakang. Kami bermula pada 1974, kami merupakan satu daripada pengasasnya.

"Kami tidak menyertai BN, kami mengasaskan BN. Kami tidak boleh meninggalkannya.
Perjuangan kami masih belum selesai," katanya.

Beliau berkata sejak konsep perkongsian kuasa diperkenalkan oleh Gerakan, maka adalah lebih baik bagi Gerakan untuk "merawat parti yang sakit ini meskipun ia mengambil masa untuk memulihkannya."

Anggota CC Gerakan Teng Chang Yeow berkata parti itu, di sebalik latar belakang sejarahnya, kini berada dalam persimpangan.

Sehubungan itu, Teng berkata wujud satu keperluan mendesak bagi anggota parti untuk menilai situasi dan perkembangan politik yang berlaku sejak enam bulan lepas.

"Parti komponen BN lain juga menderita. Tiada kesalahan yang jelas. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari dan menyatakan itu salah anda.

"Ia umpama satu perkahwinan. Jika perkahwinan anda mengalami masalah, berusahalah untuk menyelamatkannya. Orang lain hanya menyatakan buat itu, buat ini tetapi akhirnya anda sendiri yang akan merasai kesannya," katanya.

No comments: