Wednesday, September 10, 2008

Kejayaan BPR tahan 44 di Puspakom, tumpu bersihkan agensi lain
mstar online


KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan 44 orang termasuk 21 runner dalam ‘Ops Compact’ yang dijalankan bersama Pusat Pemeriksaaan Kenderaaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara penghujung bulan lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ekoran kejayaan itu BPR akan menggempur agensi kerajaan yang lain pula.

Jelas beliau, kejayaan operasi mencegah rasuah di Puspakom telah menarik perhatian pelbagai agensi kerajaan lain supaya BPR menjalankan operasi cegah rasuah di agensi mereka.

Oleh yang demikian BPR akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di agensiagensi kerajaan lain, katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemeriksaan Puspakom di sini hari ini.

Ahmad Said juga berkata, siasatan masih dijalankan terhadap 23 kakitangan Puspakom dan 21 runner yang ditahan pada 27 Ogos lepas kerana membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang bermasalah tanpa mengikut prosedur dan meluluskan pemeriksaan tanpa kehadiran kenderaan.

“Hasil usaha sama yang dijalankan antar BPR dan Puspakom amat baik.

"Walaupun apa yang kita lakukan ini mengakibatkan penahanan kakitangan Puspakom, runner dan orang awam lain tetapi ia bertujuan untuk membolehkan Puspakom memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan baik," katanya.

“Kita harap tindakan yang kita ambil ini akan memberi kesedaran kepada kakitangan Puspakom untuk lebih bangga dengan tugas mereka dan melaporkan kepada pihak atasan jika menerima sebarang tawaran rasuah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mereka yang ditahan itu memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 sebulan, beliau berkata, itu cuma satu andaian tetapi tidak menafikan ada antara mereka memperoleh pendapatan yang banyak namun tidak dapat dipastikan jumlahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Datuk Salamat Wahit berkata, semua kakitangan yang ditahan itu telah digantung kerja sementara menunggu hasil siasatan BPR selesai.

Setakat ini 11 buah kenderaan yang terlibat di dalam siasatan berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dipanggil bagi pemeriksaan semula di Puspakom.

"Proses pemutihan Puspakom akan berterusan hingga gejala rasuah dapat ditangani sepenuhnya dan apabila proses itu selesai kelak, hanya kakitangan yang berintegriti dan telus dibenarkan bertugas," kata Salamat.

Dalam perkembangan lain, Salamat berkata, Puspakom mengesan antara 70 dan 80 kes kereta potong sebulan di seluruh negara.

Beliau berkata, maklumat berhubung kes kereta potong yang dikesan itu dirujuk ke JPJ untuk siasatan dan tindakan.

No comments: