Tuesday, August 12, 2008

Tiga ciri calon untuk saingi Anwar di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Seorang bekas pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh menyenaraikan tiga ciri utama yang harus ada pada calon Barisan Nasional untuk menyaingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Pertamanya calon BN itu mestilah mampu meredah semua kawasan dan tempat tumpuan anakanak muda di Permatang Pauh kerana kebanyakan mereka ini adalah pengundi atas pagar.

Keduanya, calon BN itu mestilah orang yang berpengaruh dan tahu semua rahsia dan strategi politik Anwar.

Ketiganya, calon BN itu mestilah mempunyai rekod yang baik dan tidak mempunyai masalah dengan kawan dan lawan di Permatang Pauh.

"Di Permatang Pauh ini masih ramai pengundi atas pagar, dan mereka akan memilih calon, bukannya parti," kata bekas pemimpin bahagian itu, yang enggan namanya disiarkan.

Katanya daripada 58,459 pemilih berdaftar di Permatang Pauh, 40 peratus berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan mereka bukan anggota manamana parti politik.

"Jika kita memilih calon yang tepat, Umno mempunyai peluang 50-50 menewaskan Anwar," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah isteri Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding. Penamaan calon ialah pada Jumaat ini. BERNAMA

No comments: