Saturday, August 23, 2008

Janji 'terlampau' Najib dorong kekalahan Chong Wei ?
Mat Zain Mat Isa


Hasrat seluruh rakyat Malaysia melihat kilauan emas pertama untuk negara di temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 semalam akhirnya hampa. Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang buat pertama kali layak ke final acara di sukan paling berprestij di dunia itu dihampakan jaguh tuan rumah, Lin Dan.

Pemain nombor satu dunia itu mengalahkan Chong Wei dengan straight set, 21-12, 21-8 dalam masa hanya 39 minit. Kekalahan itu juga memadamkan hasrat jutaan rakyat negara ini melihat Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku dikumandangkan buat pertama kali di temasya sukan terbesar dunia itu.

Sesiapa juga yang menyaksikan siaran secara langsung pertandingan tersebut sedari awal dapat menduga bahawa jagoan negara itu akan kecundang. Nampak sangat beliau tidak berjaya mengatasi tekanan psikologi dihamburkan para penyokong tuan rumah.

Chong Wei ternyata tidak menzahirkan prestasi terbaiknya malam tadi. Beliau kerap melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya, termasuk di ketika tidak ada tekanan (unforced errors).

Beberapa pengulas sukan menggunakan istilah 'kaku' bagi menggambarkan pergerakannya. Kehilangan kecergasan dan tumpuan itu memudahkan beliau diratah oleh pemain tuan rumah yang mendapat sokongan padu ribuan peminat tempatan.

Kemenangan itu bagaimana pun sudah cukup baik buat negara. Ia bukan sahaja meletakkan Malaysia dalam senarai penerima pingat di Sukan Olimpik kali ini, bahkan turut memperbaiki rekod pencapaian Rashid Sidek yang memungut gangsa pada temasya 1996 di Atlanta. Dalam kejohanan sama, pasangan beregu negara, Cheah Soon Kit / Yap Kim Hock turut meraih perak.

Perasaan puas hati itu turut diluahkan para pemimpin negara. Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menyifatkan Chong Wei sebagai wira negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Zolkples Embong pula menyanjung Chong Wei kerana telah mengatasi sasaran ditetapkan pihaknya.

"Sebenarnya kita hanya meletakkan sasaran asal mendapat pingat gangsa sahaja memandangkan laluan sukar harus diharungi Lee Chong Wei. Namun, pemain ini memberi harapan baru apabila layak ke final dan perak dimenanginya cukup baik buat kontinjen negara, " katanya, sebagaimana dipetik akhbar hari ini (Isnin).

Perak yang disumbang Chong Wei itu membolehkannya mendapat ganjaran RM300,000 sebagaimana dijanjikan Najib sebelum ini. Beliau malah turut dijanjikan pencen RM3,000 sebulan atas pencapaian itu.

Sewaktu memberikan semangat dan perangsang kepada atlet negara yang akan berangkat ke Beijing bulan lalu, Najib telah mengumumkan janji untuk menganugerahkan ganjaran lumayan kepada mana-mana atlet yang berjaya membawa pulang pingat di temasya sukan itu.

Antara yang diumumkan Najib ialah ganjaran RM1 juta bagi sebuah pingat emas, beserta pencen bulanan. Janji itu bagaimana pun menimbulkan rasa tidak senang pelbagai pihak. Mereka menganggap ia terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan sedikit kesukaran dihadapi mana-mana atlet bagi mengejar pingat tersebut.

Ada pula menilainya sebagai pendorong menyemai sikap dan tabiat negatif di kalangan atlet. Janji itu seolah-olah menggambarkan kerajaan cuba mendidik atlet kita mengejar ganjaran dan bukan lagi menilai keikhlasan mereka dalam mempertingkatkan kecemerlangan mutu sukan negara.

Bagi kebanyakan rakyat pula, nilai ganjaran RM1 juta untuk pingat emas itu memang sesuatu yang agak ' terlampau '. Bagi mereka, mengambilkira kedudukan ekonomi negara dan kesusahan hidup rakyat yang dibebani berbagai kenaikan kos hidup kini, di manakah wajarnya pemimpin negara sewenang-wenang membelanjakan wang sebanyak itu?

Lain lah halnya jika wang yang akan diberikan kepada atlet itu datang dari kocek Najib atau pemimpin negara sendiri.

Disebabkan rasa sayang kepada wang negara itu barangkali timbul satu perasaan di kalangan rakyat, termasuk para peminat sukan negara, bahawa adalah lebih elok bagi negara jika Chong Wei tidak bawa pulang emas.

Mereka bukan tidak suka jaguh negara menjadi juara dunia. Bukan tidak mahu nama negara harum, bendera negara dinaikkan dan lagu negara dimainkan di gelanggang dunia. Mereka hanya tidak dapat menerima hakikat begitu besar jumlah wang negara dikeluarkan untuk satu kejayaan yang tidak setimpal.

Bagi mereka, banyak lagi perkara lain lebih penting dan utama untuk kebaikan seluruh rakyat yang dapat dibuat dengan RM1 juta itu.

"Demi menjimatkan wang negara, biarlah kita tidak menang pun," kata mereka. Kata-kata itu seolah-olah menjadi doa. Mereka bukan tidak merestui kemenangan Chong Wei, tetapi tidak dapat menerima rasional janji 'terlampau' yang dibuat Najib.

Ertinya, jika tidak kerana janji 'terlampau' oleh Najib itu, sudah tentu lebih ramai rakyat mendoakan kejayaan Chong Wei memungut emas. Apa pun, tahniah buat jaguh negara itu! - mr_

No comments: