Sunday, August 24, 2008

Umno-BN wajar dimuziumkan - Azmin Ali
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Umno dan Barisan Nasional (BN) wajar dimuziumkan selepas pilihan raya kecil P.44 Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali.

Sambungnya, parti itu tidak relevan lagi sebagai sebuah parti untuk memperjuangkan nasib bangsa ekoran acap kali memainkan api perkauman bila terdesak.

"Muziumkan saja Umno-BN selepas pilihan raya kecil nanti. Orang Islam tidak rugi kehilangan parti yang ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj kerana pengasasnya juga meninggal bukan dalam Umno," ujarnya ketika berpidato di hadapan 5,000 masyarakat cina Seberang Jaya semalam.

Orang Melayu boleh memilih parti lain seperti KeADILan dan PAS untuk meneruskan wadah perjuangan mereka, katanya.

Nasib Umno-BN sekarang ini bagaikan 'telur di hujung tanduk' setelah rakyat menolak parti itu dalam pilihan raya umum ke-12 bulan Mac lalu, sambungnya.

Katanya, kini Umno cuba menghidupkan peluang dengan meminta insan PAS untuk mengaitkan percaturan baru memimpin negara demi umat Melayu yang semakin terhakis.

"Mereka buat lupa siapa pengkhianat Melayu sebenarnya. Adakah orang PAS, KeADILan atau DAP yang membunuh tulisan jawi, mengkoporatkan institusi pengajian tinggi dan seumpamanya," ujar beliau.

Program makan malam itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jelas Azmin, walaupun calon BN, Dato' Arif Shah Omar mahir berbahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris, namun tidak bermakna beliau boleh memimpin dengan baik disebabkan beliau berada dalam kelompok parti yang berpenyakit.

Anwar juga katanya, walaupun tidak sefasih Ariff berbahasa Mandarin tetapi beliau mempunyai mutu pentadbiran yang baik untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus mundur.

"Buat apa fasih berbahasa Mandarin atau Tamil tetapi gagal mengurus tadbir negara ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. Terutamanya meningkatkan sosio ekonomi negara selari dengan negara di dunia di samping tidak mengabaikan rakyat tempatan," tegasnya. - mns_

No comments: