TERKINI
"Saya akan tetap bertanding" – Anwar
Intan Abdullah
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat KeADILan, Merchant Square, Damansara sebentar tadi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan ianya akan tetap walaupun beliau terpaksa ditahan untuk soal siasat kes tersebut.
" Usaha untuk menghalang saya bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh akan pasti dilakukan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi.
"Namun ianya tidak sedikitpun akan mematahkan semangat saya walaupun saya ditangkap, meskipun kain sarung dan songkok saya sahaja yang hadir," ujarnya pada sidang media tersebut, hari ini.
Walau bagaimanapun, Anwar menyifatkan pengumuman tarikh pilihan raya kecil pada hari ini yang disusuli dengan panggilan mahkamah atas kes liwat esok membuktikan terdapat unsur campur tangan pemimpin Umno dalam kemelut politik masa kini.
"Ia secara tidak langsung memberikan kempen percuma bagi meneruskan fitnah jahat Umno-BN dengan jentera kerajaan khususnya pihak media.
"Keputusan ini tidak mungkin berlaku tanpa arahan peribadi Abdullah Ahmad Badawi," ujarnya.
Malah tambahnya, siasatan di bawah seliaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut menghadapi masalah.
"Namun dengan Keterangan perubatan oleh doktor yang kukuh, memberikan saya alibi yang kuat dan padat walaupun mereka berulang kali naik ke pejabat Peguam Negara. Namun mereka masih gagal mendapat pengesahan dokumen tersebut," katanya.
Beliau turut yakin strategi yang sama akan digunakan kerajaan Umno-BN pada 1998 dan 1999 lalu bagi mengaibkannya dengan serangan habis-habisan.
"Sebab itulah hari ini SPR umumkan tarikh pilihan raya, esok saya dipanggil ke mahkamah - ianya cukup jelas," katanya lagi.
Ditanya mengenai kes tersebut yang mungkin menjejaskan proses kempen di Permatang Pauh, beliau tetap berkeyakinan bahawa pengundi di Permatang Pauh mempunyai maklumat dan kesedaran yang cukup terhadap perkembangan semasa yang berlaku.
"Dari segi undang-undang ianya tidak menjejaskan saya, namun ia merupakan niat kotor yang menjadi hambatan supaya rakyat berpaling dan tidak menyokong saya," ujarnya lagi.
Meskipun pernah melalui pengalaman berhadapan dengan dakwaan kes yang serupa 10 tahun lalu, beliau tetap melahirkan kebimbangan dengan situasi yang berlaku mutakhir ini.
"Saya kesal dengan langkah dan tindakan zalim yang dikenakan terhadap saya, keluarga dan sahabat-sahabat yang dikhuatiri jika ianya berterusan akan berupaya menggugat kestabilan politik dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara," katanya lagi.
Mengulas mengenai strategi khusus Pakatan Rakyat dalam usaha menjayakan misi mengalahkan Umno-BN sekaligus menumbangkan kerajaan pusat Umno-BN, Anwar menjelaskan mereka telah pun merangka strategi tersebut.
"Dengan bantuan dan sokongan semua pihak khususnya jentera pilihan raya Pakatan Rakyat termasuk PAS dan DAP, kita yakin akan dapat mengekalkan kemenangan di Permatang Pauh," ujarnya.
Menyentuh tarikh pilihan raya tersebut yang jatuh pada hari berkerja, bukan seperti kebiasaan hari pilihan raya sebelum ini Anwar menyatakan bahwa ia merupakan satu lagi bentuk halangan untuk menyukarkan jalan beliau untuk menang.
"Abdullah sedang 'desperate' (terdesak) untuk mempertahankan kuasanya, walaupun dia tiada kes yang boleh mensabitkan saya (dalam kes liwat)," tegasnya.
Dalam sidang media yang sama, Anwar turut memaklumkan mengenai beberapa laporan pemimpin Umno yang terlibat dengan salah laku rasuah yang membabitkan pemimpin nombor satunya.
"Abdullah menghadapi krisis kepercayaan ahli dan keyakinan rakyat yang semakin merudum.
"Abdullah terjerat untuk menggunakan kes ini bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada penyelewengan dan kegagalan beliau dalam menerajui negara ini," tegasnya.
Beliau tidak menafikan terdapat campurtangan politik dalam kes liwat tersebut.
"Campurtangan tersebut sangat jelas," katanya.
Beliau turut mengumumkan pasukan peguam yang akan membantu mengendalikan kes liwat mengaitkan beliau yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah.
Selain itu, peguam lain terdiri daripada Sankara Nair, R. Sivarasah, Saiful Nizam dan beberapa orang lagi.
Ditanya mengenai keyakinan untuk memenangi kes tersebut, Anwar berkata,"saya sangat yakin namun saya tidak pasti berapakah jumlah majoriti yang akan diperolehi nanti."
Selain itu, ditanya mengenai agenda pertama beliau selepas memenangi pilihan raya tersebut nanti Anwar menyatakan fokus beliau lebih kepada untuk membantu memulihkan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap negara ini.
Turut hadir dalam sidang tersebut, isterinya, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, Dr Lee Boon Chye, Ketua Penerangan, Tian Chua serta anak-anak Anwar, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.
Selain itu, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli juga turut serta pada majlis yang sama sebagai tanda sokongan rakan kongsi Pakatan Rakyat. - mks._
No comments:
Post a Comment