Thursday, August 7, 2008

PM dan TPM akan dipanggil BPR
Oleh G.MANIMARAN

GEORGE TOWN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang meneliti dan menyiasat laporan terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, setiap laporan yang diterima akan disiasat dengan teliti sebelum memanggil mana-mana pihak untuk memberi keterangan.

"Bagilah kita peluang untuk melakukan kerja kita. Ketika ini sesiapa sahaja yang membuat laporan mesti mempunyai bukti yang kukuh dan tiada elemen-elemen jahat," kata beliau kepada pemberita selepas menyertai pertandingan menembak Piala Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan veteran Umno Datuk Mazlan Harun kepada BPR terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti semalam.

Laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim dalam sepucuk suratnya kepada Setiausaha Agung Umno yang mendakwa bahawa pucuk pimpinan parti telah melakukan rasuah politik.
ditanya sama ada pemimpin berkenaan akan diambil kenyataan mereka, Ahmad Said berkata:

"Siapapun kita akan ambil kenyataan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Said berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian berkenaan bagi menyiasat punca sebenar keretakan jejambat Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang menghubungkan Kepong dengan Selayang, di Kuala Lumpur.

"Kita akan tengok dulu apa yang sebenarnya berlaku dan kita juga bekerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan berhubung masalah keretakan MRR2 itu," katanya.

Ahad lepas, jejambat sepanjang 1.7 kilometer bernilai RM238 juta itu terpaksa ditutup selepas sebatang tiangnya dikesan mengalami rekahan.

Penutupan itu kali ketiga dalam tempoh empat tahun kali pertama pada Ogos 2004 dan kedua, Februari 2006. MRR2 itu mula dibuka pada 1999.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan laporan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Datuk Gani Patail, Ahmad Said berkata:

"Siasatan kes itu sedang dijalankan, beri ruang kepada BPR untuk menjalankan tugas dan menyiasat".

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob.

No comments: