Wednesday, August 13, 2008

Pendekatan Singapura dalam isu bilateral serupai Israel
Mat Zain Mat Isa

Tidak habis-habis nampaknya negara jiran kita di selatan tanah air membuat karenah dan mengkhianati kepercayaan yang negara kita hulurkan.

Setelah berjaya membuat Malaysia berputih mata dalam kes perebutan Pulau Batu Putih secara undang-undang sebelum ini, kini republik itu dikatakan semakin berani memperluaskan kawasan 'takluknya' di Pulau Pisang pula.

Media massa negara sejak beberapa hari lalu kembali hangat memperkatakan karenah dan tindakan mencurigakan negara jiran itu. Timbul laporan mendakwa Singapura menjalankan kerja-kerja pembesaran rumah api Pulau Pisang yang terletak di perairan Pontian, Johor.

Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim memberitahu, pegawai Malaysia dalam Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura diarahkan menyiasat dakwaan itu.

Menurut rekod, Singapura diberikan hak mengurus rumah api di laluan masuk ke Selat Melaka itu menerusi perjanjian pada 1900 yang dimeterai antara Sultan Johor dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Kawasan diperuntukkan bagi pengurusan rumah api itu hanya seluas 0.4 hektar. Ia kini diuruskan Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura.

Apa yang kini menimbulkan curiga ialah apabila pihak republik itu dikatakan membuat pembesaran kepada rumah api tersebut. Tinjauan beberapa pihak ke pulau berkenaan mendapati terdapat satu lapisan pagar baru mengelilingi kawasan rumah api.

Waris kepada pemilik tanah di pulau tersebut malah mendakwa sebahagian kawasan berpagar itu telah dibina di dalam tanah milik mereka. Terdapat kes di mana kawasan ditakluk Singapura itu membabitkan pemusnahan kebun milik rakyat negara ini. Ia dikatakan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Terdapat 15 buah rumah di Pulau Pisang dan kebun buah-buahan yang dimiliki oleh 87 penduduk tempatan, selain kawasan Perkuburan Orang Islam berusia lebih 200 tahun serta tapak surau lama.

Kedaulatan negara kita bagaikan dicabar apabila jeti yang digunakan pihak berkuasa Singapura untuk ke rumah api tersebut ditandakan sebagai jeti persendirian. Bahkan terdapat papan tanda dilarang masuk oleh pihak berkuasa Singapura. Apakah kawasan itu juga telah menjadi jajahan takluk republik itu?

Bukan hendak berburuk sangka dengan negara jiran kita itu. Bagaimanapun, mengambilkira tuntutan khianat republik berkenaan dalam kes Pulau Batu Putih sebelum ini, ada munasabahnya jika kerajaan kita lebih mencurigai tindakan Singapura itu.

Sebetulnya, pendekatan diambil Singapura dalam beberapa isu bilateral dengan negara kita sebelum ini sangat meyerupai sikap dan tindakan kaum Yahudi ke arah membentuk negara haram Israel dulu.

Yahudi menakluki tanah milik penduduk Arab Palestin dulu secara seinci demi seinci. Ia bermula dengan tindakan membeli tanah milik orang-orang Arab dengan tawaran harga yang tinggi. Ramai penduduk Arab seakan berlumba-lumba menjual tanah apabila tersilau dengan wang ringgit dan janji pembangunan di kawasan mereka.

Mufti Palestin ketika itu, Sheikh Aminul Hussaini dikatakan telah mengeluarkan fatwa mengharamkan penduduk Palestin menjual tanah mereka kepada Yahudi. Ulama itu telah dapat mengesan niat jahat dan perancangan jangka panjang bangsa laknat itu sebenarnya untuk menguasai bumi Palestin.

Fatwa dan pendirian ulama itu bagaimana pun tidak dihiraukan penduduk Palestin. Mereka merasakan inilah masanya mendapat kekayaan dan membantu membuka peluang pembangunan ke tempat mereka. Mereka berkira-kira, apabila pembangunan pesat dibangunkan di negeri mereka nanti, mereka juga yang akan tumpang senang untuk mencari kerja, menambah rezeki dan seumpamanya.

Akhirnya, apa yang dibimbangi Sheikh Hussaini itu benar-benar terjadi. Apabila sudah terdapat sebahagian bumi Palestin menjadi hak milik mutlak bangsa Yahudi, ia memudahkan mereka melaksanakan perancangan jahat menakluki bumi negara itu yang selebihnya secara kekerasan.

Usaha mempertahankan bumi Palestin dari serangan Yahudi Zionis semakin sulit kerana kaum itu sudah ada puak mereka sebagai warga di bumi Palestin sendiri.

Apakah keterlaluan jika diandaikan bahawa kebodohan penduduk Arab Palestin dahulu itu seakan terjelma kini di selatan tanahair kita? Bukankah sudah banyak hartanah di negeri Johor menjadi milik rakyat Singapura kini?

Apa yang lebih mendukacitakan, usaha menjual bumi Malaysia kepada warga negara jiran itu bukan setakat dilakukan individu rakyat, malah dipromosi oleh kerajaan sendiri, terutama menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar atau kini dikenali Iskandar Malaysia.

Projek pembangunan itu telah dipertikaikan banyak pihak akan kewajarannya. Selain dibimbangi akan dimonopoli syarikat-syarikat asing, hartanah kawasan berkenaan juga dikatakan cenderung dimiliki warga Singapura.

Akuilah bahawa selama ini kita terlalu baik dan berlembut dengan jiran kita itu. Mereka tak ada air, kita bekalkan. Bukan sahaja mereka boleh mengepam semahu mereka, malah harga kita jual kepada mereka jauh lebih murah berbanding harga kita kenakan kepada rakyat kita sendiri. Itulah 'cerdiknya' para pemimpin kita!

Mereka nak guna ruang udara untuk menguji penerbangan pesawat pejuang, kita tidak kisah. Kalau pun ada terdengar suara bantahan tentang gangguan ruang udara kita, ia hanya bersifat 'melepas batuk di tangga'.

Sebagai rakyat yang bermaruah, kita tidak bersedia melihat kehilangan lebih banyak kedaulatan ke atas mana-mana bahagian negara kita selepas ini.

Bukan hanya di Pulau Pisang, bahkan kawasan daratan yang nampaknya semakin rancak bertukar milik kepada warga Singapura kebelakangan ini.

Nasib malang menimpa Palestin akibat perancangan jahat Israel wajar dijadikan pengajaran.- tmj/mks._

No comments: