Tuesday, August 12, 2008

Harian Metro,NSTP digesa mohon maaf pada Kedah
Bashir Ishak

ALOR STAR - Pejabat Menteri Besar Kedah melahirkan rasa kesal dengan laporan Harian Metro 9 Ogos lalu bertajuk "Pejabat MB Hulur RM20.00 - Pengawal perlu bantuan rawat cucu hidap leukimia".

Dalam kenyataan yang difakskan kepada Harakahdaily, selain melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Mat Isa Lahaman dan keluarganya, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Mat Isa yang menyebut beliau hanya menerima RM20.00 dari Pejabat Menteri Besar Kedah.

"Bantuan segera kepada beliau dan cucu-cucunya yang dihulurkan adalah RM300.00 . Saya juga melahirkan rasa kesal kerana laporan Harian Metro tersebut tidak merujuk kepada Pejabat Menteri Besar untuk mengesahkan maklumat sebelum laporan tersebut disiarkan.

"Saya berharap pihak pengarang Harian Metro, pemberita (Omar Osman) dan pihak The New Straits Times Press memohon maaf secara terbuka dan menyiarkan berita sebenar dalam tempoh seminggu dari sekarang," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi lagi, sebarang cubaan mencemarkan nama baik, reputasi dan integriti Dato' Seri Menteri Besar Kedah dan pegawainya pada masa depan haruslah dihindari.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan bahawa Mat Isa bersama isteri, menantu dan cucunya pernah mengunjunginya pada 29 Jun lalu mengadu isterinya baru pulih dari strok dan anaknya pula baru dua minggu meninggal dunia.

Selain itu jelasnya, beliau juga ditunjukkan surat daripada Exco Kebajikan dan Pembangunan Wanita Kedah yang ditujukan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri untuk tindakan lanjut.

"Tiada aduan tentang penyakit leukimia yang dihidapi cucunya dalam perjumpaan tersebut. Beliau juga mengaku dikunjungi Pegawai JKM Sungai Petani tetapi belum menerima sebarang bantuan selain baran keperluan makanan untuk beberapa hari.

"Rekod kehadiran pelawat ke pejabat ini juga menunjukkan pengadu hanya sekali membuat kunjungan iaitu pada 29 Jun, bukannya empat kali seperti yag didakwa.

"Saya mohon hal ini diperbetulkan segera oleh Harian Metro. Pihak pengadu (Mat Isa) boleh berhubung terus dengan JKM dan berharap masyarakat sekitar tampil memberikan sumbangan kepada mereka sekeluarga," ujarnya lagi. - mks. _

No comments: