Thursday, August 14, 2008

Harga barangan di MAHA akan sentiasa dipantau

SERDANG: Isu kadar harga tinggi yang dikenakan penjual yang mengambil bahagian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2008 akan diselesaikan secepat mungkin, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

"Saya mahu isu ini diselesaikan. Saya telah meminta FAMA memantau isu itu. Kita tidak mahu pengunjung tertipu dengan harga yang dikenakan penjual," katanya ketika ditemui di tapak pameran MAHA di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa terdapat beberapa peniaga tidak mematuhi tanda harga yang dipamerkan di geraigerai mereka.

Pengunjung tidak berpuas hati kerana tertipu dengan tanda harga dan terpaksa membayar kos yang agak tinggi bagi makanan yang dibeli.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Rosita Rahim berkata kementerian, FAMA, urusetia MAHA dan pihak keselamatan MAHA akan menyediakan sebuah kaunter aduan untuk kemudahan orang ramai.

"Pengunjung yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan di kaunter aduan yang akan ditempatkan di kaunter informasi pameran.

"Pengunjung perlu menyatakan nombor gerai, waktu kejadian berlaku dan sebagainya supaya kita boleh membuat pemeriksaan susulan segera. Maklumat-maklumat seperti ini akan membantu kita memantau agar isu seperti itu tidak berulang," katanya.

Menurut Rosita, pihaknya akan menasihati peniaga terbabit dan jika mereka mengulanginya, peniaga berkenaan akan dihalang daripada berniaga di tapak pameran MAHA. BERNAMA

No comments: