Siapa layak jadi PM Pakatan Rakyat: Anwar atau Hadi?
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK
Persoalan ini memang sudah dijangkakan ketika sudah ada cakap-cakap terbuka Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan nama Anwar sebagai bakal "Perdana Menteri yang menanti" selepas 16 September ini.
Sehubungan itu, sebagai langkah awal beliau dikatakan bertanding di kerusi pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Kempen secara tidak rasmi malam tadi di Permatang Pauh, kendalian Pakatan Rakyat, juga menyentuh yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri dan pemimpin bagi era baru Malaysia,
Semalam Dewan Ulama PAS Pusat berpendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul HAdi Awang merupakan pemimpin yang layak untuk menerajui kerajaan baru jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pada 16 September.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, Dewan Ulama sentiasa menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin menjadi Perdana Menteri yang baru jika pemimpin yang dipilih itu menjadikan Islam sebagai asas pentadbirannya.
“Jika anda tanya kami (PAS), maka sudah pasti kami katakan Datuk Seri Abdul Hadi adalah orang paling layak untuk memikul tanggungjawab itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian
Dewan Ulama PAS Pusat di Dewan Perbandaran di sini hari ini.
Terdahulu padangan itu diketengahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Mohd. Amar Nik Abdullah yang lebih suka mengutamakan Presiden Pas itu menjadi Perdana Menteri berbanding pemimpin dari parti lain.
Mohamed Daud berkata, pendirian itu adalah sesuatu yang normal kerana sudah pasti penyokong PAS mahukan pemimpin mereka yang menjadi pemimpin nombor satu negara.
“Namun kita dalam Pakatan Rakyat akan berbincang mengenai siapa yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Soal berebut jawatan itu tidak timbul kerana sudah pasti semua komponen Pakatan Rakyat akan memutuskan individu yang layak menerajui pimpinan negara,” katanya.
Tegas beliau, jawatan dan pangkat bukan sasaran utama untuk mengambil alih kerajaan sebaliknya tanggungjawab menguruskan kerajaan dengan sempurna mengikut landasan Islam itu yang lebih penting.
Bagaimanapun menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub, yang sejak kebelakangan lantang dalam suaranya, soal siapa yang harus menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak harus dibangkitkan oleh PAS sekarang sebaliknya para anggota parti itu harus menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan pakatan itu.
Realiti politik semasa ialah tiada pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang boleh menjadi Perdana Menteri pada hari ini kerana parti-parti mereka belum memiliki bilangan kerusi yang cukup di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat.
"Kita seharusnya hanya memikirkan soal itu apabila perkara itu benar-benar sudah menjadi kenyataan dan pada masa itu kita akan bincangkannya dengan semangat Pakatan Rakyat.
"Dewan Pemuda PAS tak mahu ada persepsi di kalangan ahli PAS bahawa 16 September ini kita perlu tumpu tentang kuasa, jawatan dalam politik, jawatan menteri. Itu bukan matlamat kita pada masa ini, yang penting, kita kukuhkan PR, kalau ada masalah kita selesaikan bersama," katanya kepada pemberita di akhir Muktamar Tahunan pergerakan itu di Stadium Indera Mulia di sini.
Salahuddin berkata isu mengenai muzakarah PAS dengan Umno dianggap selesai dengan para perwakilan pergerakan itu sebulat suara akur dengan keputusan dan pendirian parti berhubung isu itu.
Dalam pada itu, Muktamar Tahunan PAS Ke-54 berlangsung dalam suasana politik negara yang gawat dan penuh cabaran, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar (gambar).
Sungguhpun demikian, jelas beliau kegawatan politik selepas pilihan raya umum Mac lalu merupakan sesuatu yang menarik.
“Ini adalah petanda baik bagi PAS dalam usaha untuk memperkukuhkan parti dan merealisasikan nilai Islam,” katanya.dalam ucapan aluan pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS di sini.
Tambah beliau pilihan raya lau telah memberi peluang kepada PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sistem dwi-parti.
“Sistem politik begini adalah sangat penting bagi mewujudkan budaya politik yang sihat,” jelas beliau.
Kamaruddin berkata PAS kini berhadapan dengan pelbagai rintangan yang semakin mencabar yang perlu ditangani dengan cara yang profesional.
“PAS akan rugi jika kita menghadapi masalah yang timbul dengan cara yang salah.
“Saya percaya kita semakin matang setelah diuji dengan pelbagai cabaran untuk terus bersama Pakatan Rakyat,” katanya.
Selain itu katanya PAS juga menerima kesan positif dengan wujudnya kerjasama dengan Pakatan Rakyat.
“Kerjasama ini memberi satu pengertian penting untuk PAS. Sebagai contoh semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh jentera muktamar kita pada kali ini adalah petanda baik untuk PAS Perak terus cemerlang bersama kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment