Ahad, 10 Mei 2015

TH wajar ambil iktibar isu beli tanah

1MDB - TH Grafik Sinar Online
 
 
ALOR SETAR - Tabung Haji (TH) wajar mengambil iktibar dari isu pembelian tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dan setiap keputusan dibuat selepas ini haruslah mengutamakan pendeposit bukan kepentingan sesetengah pihak.

Presiden Persatuan Profesional Muda Islam Malaysia (Promis), Dr Nazil Nuhairi Ismail berkata, tindakan membatalkan semula pembelian atau menjual kembali tanah itu sangat wajar dilakukan kerana ramai pihak yang tampil membantah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Lembaga TH yang akhirnya akur dengan tekanan dan desakan pelbagai pihak apabila memutuskan untuk menjual semula plot tanah di TRX yang dibeli sebelum ini.

Dalam satu kenyataan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam berkata, tanah seluas 0.64 hektar akan dijual semula selepas mendapat teguran pelbagai pihak termasuk nasihat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.

Menurutnya, tanah itu akan dijual dengan unjuran keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta selain mendapat 100 peratus pulangan wang yang dibayar kepada 1MDB bagi pembelian sebelum ini.
Dalam pada itu Nazil berkata, transaksi yang dibuat sebelum ini tidak wajar sama sekali atas apa jua alasan.

“TH adalah institusi yang menguruskan wang umat Islam dengan niat suci menunaikan haji.

“Pelaburannya mesti bersifat rendah risiko, bebas kepentingan dan telus. TH perlu membela pendeposit bukan pihak yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, pembelian tanah dari 1MDB, sebuah syarikat yang penuh kontroversi dengan kos pembelian tanah di luar munasabah pasaran akan menjerumus penggunaan duit umat Islam ke dalam kontroversi dan berisiko.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, TH perlu lebih berhati-hati menggunakan duit orang ramai yang bertujuan menunaikan haji dan wajib diurus dengan baik dan mematuhi syariah.

“Pengurusan TH perlu mengambil pengajaran dari insiden ini. Mujurlah dengan kehendak ALLAH  perkara ini terbongkar dan rakyat menyedari apa yang berlaku.

“Rakyat sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang. Cukup-cukuplah menggunakan wang simpanan mereka pula untuk tujuan tidak sepatutnya,” katanya.

Tiada ulasan: