KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini tampil memberi penjelasan mengenai pelaburannya dalam pembangunan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata, pelaburannya itu adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.
"Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.
"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.
"Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun pihak TH katanya menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu.
"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut.
"TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik," katanya.
Sebelum itu, melalui akaun Twitter, Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim menafikan dakwaan yang menyebut Tabung Haji akan membeli dua plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dengan RM772 juta tunai.
“Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih,” tulisnya menjawab pertanyaan pengikutnya di laman itu, semalam.
Beberapa blog telah memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan pembelian tanah TRX dan mendakwa ia menggunakan wang pendeposit yang disimpan bukannya wang kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan