Selasa, 5 Mei 2015

Sudah sampai masa Najib pecat Ismail Sabri, kata DAP

Teresa param

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kualiti kepimpinannya dengan memecat Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, tindakan Ismail yang mengancam untuk tidak meluluskan permohonan dan projek-projek pertanian di Permatang Pauh sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya kecil kawasan tersebut Khamis ini, telah membuktikan betapa beliau tidak layak menjadi menteri kabinet.

“Dengan ancaman terbaru yang tidak bertanggungjawab itu bahawa beliau tidak meluluskan apa-apa dana pertanian jika Wan Azizah menang, rakyat Malaysia ingin tahu apakah alasan Najib tidak memecat Ismail dari pejabatnya?

“Pilihanraya yang demokratik mesti bebas, adil dan bersih. Sebarang ancaman politik adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan.

“Jadi, sudah tiba masanya Najib menunjukkan kualiti kepimpinan dan memecat Ismail dari Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal tahun ini, Ismail juga telah membuat kenyataan rasis dan tidak sensitif yang menimbulkan kemarahan rakyat apabila beliau menyeru orang Melayu untuk memboikot perniagaan masyarakat Cina supaya harga boleh diturunkan.

Tegas Teresa, amaran itu jelas merupakan satu cabaran kepada konsep 1Malaysia dan ia amat membingungkan bahawa Najib boleh mengambil sikap yang begitu toleran terhadap Ismail.

Namun, ia amat menghairankan apabila Najib bukan saja tidak menegur bahkan bertindak mempertahankan Ismail melalui kenyataan Jabatan Perdana Menteri dengan menyatakan tindakan tersebut tidak mensasarkan kaum tertentu tapi bertujuan untuk menegur peniaga yang enggan menurunkan harga barangan.

“Jika mana-mana Menteri di United Kingdom, Australia, Korea atau Jepun telah membuat kenyataan perkauman ‘boikot peniaga Cina’ seperti dilakukan Ismail, tidak ragu lagi bahawa beliau perlu meletakkan jawatan daripada Kabinet atau dipecat.

“Dan jika seorang Menteri di negara tersebut telah membuat kenyataan bahawa dia tidak akan meluluskan permohonan untuk dana pertanian, dia juga akan dipaksa meletakkan jawatan atau dipecat daripada Kabinet,” ujar Naib Pengerusi DAP itu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: