Sabtu, 9 Mei 2015

Saya belum putuskan tanding Timbalan Presiden atau pertahan Naib Presiden - Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man belum memutuskan samada akan bertanding jawatan nombor dua parti atau mempertahankan kedudukan semasa pada pemilihan Jun depan.
 
Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata beliau masih menunggu surat rasmi pencalonan daripada Jawatankuasa Pemilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.
 
"Saya belum terima surat lagi, kena tunggu surat dululah.
 
"Surat belum terima lagi, saya tak tahu lagi macam mana jumlah pencalonan yang diterima," katanya kepada Antarapos.
 
Mengulas pertandingan di peringkat jawatan tertinggi, Tuan Ibrahim berkata parti tersebut mempunyai tradisi dan budaya sendiri seperti mengadakan perundingan, mendapatkan pandangan pemimpin sedia ada dalam menentukan keputusan yang bakal dibuat.
 
Jawatan Timbalan ‎Presiden PAS menyaksikan empat calon disenaraikan layak iaitu penyandang, Mohamad Sabu, Tuan Ibrahim, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan seorang lagi naib presiden Datuk Husam Musa.
 
Namun, pertandingan empat penjuru ini hanya akan berlaku sekiranya calon-calon yang disenaraikan layak bertanding menerima pencalonan tersebut.
 
Sementara itu, jawatan Presiden PAS pula, buat pertama kali akan dipertandingkan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara tiga pemimpin utama parti itu.
 
Penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri‎ Abdul Hadi Awang dijangka bakal ditentang bekas Naib Presiden Ahmad Awang dan Husam.
 
Manakala dua belas calon layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS.
 
Kesemua calon perlu mengemukakan jawapan kepada pihaknya melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya 19 Mei dan cara serahan lain tidak akan dilayan.
 
 

Tiada ulasan: