Sabtu, 9 Mei 2015

Rumah ibadat di Melaka dikecualikan GST pada bil air

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
MELAKA: Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang dikenakan ke atas bayaran utiliti air di 760 rumah ibadat dan kebajikan seluruh negeri ini.
 
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata ia dibuat bagi meringankan beban bil utiliti yang ditanggung badan-badan tersebut setiap bulan.
 
Beliau berkata dengan pelaksanaan inisiatif itu SAMB akan menanggung kos sebanyak RM30,000 sebulan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM360,000 setahun.
 
"Caj CBP yang dikenakan kepada badan itu diserap dan dibayar oleh SAMB berkuat kuasa 1 April lepas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh sektor korporat di sini, Jumaat.
 
Sementara itu, beliau berkata Pusat Zakat Melaka (PZM) mengutip zakat berjumlah RM20.5 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding RM17.54 juta dan ini menunjukan peningkatan sebanyak 16.93 peratus berbanding  tempoh sama tahun lepas.
 
Idris berkata bilangan pembayar juga meningkat kepada 27,113 orang  berbanding 24,925 orang tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak  2,188 orang.
 
Katanya zakat pendapatan mencatat kutipan tertinggi iaitu RM8.18 juta diikuti zakat wang simpanan (RM4.67juta), zakat perniagaan (RM3.5 juta), zakat saham (RM926,788.43), zakat emas perak (RM158,254.30), zakat pertanian (RM42,064) dan zakat ternakan (RM15,100).
 
"Kutipan zakat perniagaan sehingga kini mencatatkan sebanyak RM3.47 juta dengan sedikit penurunan kutipan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu RM3.5 juta," katanya.
 
 

Tiada ulasan: