Khamis, 7 Mei 2015

Pilihan Raya Kecil : Ucapan Kazim Alias lebih bersifat politik



 Oleh ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: Ucapan Dato’ Mohammad Kazim Elias yang menyeru pengundi Permatang Pauh agar mengundi calon yang menyokong hudud lebih bersifat politik, bagi memenangkan calon BN, Suhaimi Shabuddin pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Walhal, penceramah bebas itu sepatutnya perlu bertanya atau mengambil tahu pendirian KeADILan yang beriman kepada hukum Allah, tegas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Ke- ADILan, Dr Md Nur Manuty.

Bercakap kepada Harakah 5 Mei lalu, Md Nur berkata, KeADILan berpendirian bahawa soal hudud itu berkait dengan keimanan dengan mana-mana yang beragama Islam di dalam parti itu.

“Bukan sahaja KeADILan, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail sendiri berpendirian bahawa hudud ini berkait dengan keimanan bagi mana-mana yang beragama Islam.
Jadi sudah tentulah kami di dalam KeADILan beriman dengan hukum Allah,” kata beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, timbulnya perbezaan pendapat berkaitan hukum hudud apabila ia melibatkan soal pendekatan dan persiapan undang-undang itu sendiri.

“Cuma soalnya beza pendapat dengan pandangan ulamak yang mana perlu berlaku secara beransur- ansur, melihat realiti, dalam masa sama mengutamakan Maqasid Syariah. Bukan soal KeADILan mahupun Wan Azizah tidak menyokong hudud,” kata Md Nur lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua  Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, Umno sendiri tidak pernah menyatakan pendirian tentang sokongan mereka terhadap hudud.

“Secara umumnya, memang orang Islam wajib menyokong hudud, tetapi siapa yang dimaksudkan beliau (Ustaz Kazim)?

Kerana Umno sendiri belum menyatakan pendirian mereka tentang sokongan terhadap hudud itu sendiri,” tegas beliau. Sebelum ini, Ustaz Kazim mengingatkan pengundi di Permatang Pauh supaya memilih calon pilihan raya kecil Parlimen itu yang menyokong hudud.

Merujuk kepada sokongan BN di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan sebelum ini, Kazim berkata kekuatan undi diperlukan untuk membolehkan undang-undang itu dilaksanakan.

“Kalau dibawa di Parlimen dia memerlukan kekuatan tetapi kalau ahli Parlimen tak menyokong hudud walau dia Melayu sekali pun macam mana undang-undang itu hendak menang.

“Sebab itu di Parlimen Permatang Pauh ini sekali pun, kita kena tengok ahli Parlimen itu boleh angkat tangan sokong hudud atau tidak,” kata beliau dalam ceramahnya di Permatang Pauh.

Tiada ulasan: