Selasa, 5 Mei 2015

Pengerusi SPR dinasihat tumpu reformasi pilihanraya

sprmalaysia

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menasihatkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz supaya memberi tumpuan kepada agenda mereformasi pilihanraya sepertimana yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tiga tahun lalu, berbanding melayan cadangan-cadangan mengarut.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dalam satu kenyataan berkata, cadangan untuk mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat supaya sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam matapelajaran Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh diterima.

Dua hari lalu, Aziz membuat cadangan tersebut sebagai respon kepada kenyataan Profesor Ridhuan Tee Abdullah yang mahu SPR mensyarakat individu yang ingin menjadi wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu sekurang-sekurangnya mendapat kepujian Bahasa Malaysia dalam SPM.

Ridhuan turut mencadangkan agar wakil rakyat ditemuduga mengenai penguasaan Bahasa Malaysia dan sejarah kenegaraan sebelum dibenarkan bertanding.

Namun, menurut Teresa lagi, jika syarat keperluan kepujian dalam Bahasa Malaysia dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, sudah tentu ramai ahli politik Sarawak termasuk Ketua Menteri mereka sendiri tidak layak untuk bertanding.

Menurut beliau sembilan anggota kabinet Sarawak menduduki kertas Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Senior Cambrigde (SCE) dan Sijil Tinggi Persekolahan (HSC), yang setaraf dengan SPM Tingkatan Lima serta peperiksaan STPM Tingkatan Enam.

“Jika cadangan itu diterima, ramai calon berpotensi yang mempunyai semangat serta keupayaan untuk berkhidmat kepada negara serta rakyat di Timur dan Barat Malaysia akan hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Ini kerana akan ada ramai di antara mereka yang sama ada tidak mempunyai kepujian Bahasa Malaysia dalam SPM atau tidak mengambil SPM,” ujarnya.

Tegas Naib Pengerusi DAP itu lagi, ada baiknya Aziz memberi tumpuan kepada cadangan pembaharuan pilihanraya yang sehingga kini masih tidak ditunaikan walaupun pelbagai gesaan telah dibuat.

“Walaupun negara telah menyaksikan PRU ke-13 lalu, masih begitu banyak kelemahan dan kecacatan dalam pilihanraya yang belum ditangani.

“Aziz perlu memberi fokus kepada pembaharuan yang diperlukan dan memastikan pilihanraya Malaysia bebas, adil, dan bersih,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: