Jumaat, 8 Mei 2015

Mufti bangkit soal Jho Low, Rosmah

MALAYSIAKINI


Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berharap agar kerajaan akan dapat menjelaskan dakwaan mengenai pembelian tanah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Tabung Haji.

Katanya, perkara itu semakin mendesak kerana isu berkaitan yang dibangkitkan mengenai 1MDB juga sehingga kini masih belum dijawab oleh kerajaan.

"Ini isu masa depan saya dan negara saya. Saya harap pemimpin utama negara ini dapat memberikan satu jawapan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat ini.

“Isu 1MDB yang dibangkit oleh Tun Mahathir (Mohamad) yang membabitkan kehilangan puluhan billion yang masih misteri," katanya.

Selain itu, Mohd Asri turut membangkitkan persoalan mengenai peranan jutawan Jho Low yang turut dikaitkan dengan 1MDB sebelum ini.

“Jho Low pula kelihatan tersenyum mewah di sana-sini. Mengapa dia begitu kebal dan utuh?

“Media antarabangsa pula tidak henti-henti melaporkan kemewahan luar biasa wanita tertentu. Benarkah begitu? Rakyat pula terbeban dengan kenaikan harga barang,” katanya.

Walau tidak menyebut nama mana-mana individu secara khusus, wanita dengan kemewahan luar biasa itu beliau dipercayai merujuk kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah sebelum ini menjadi tumpuan laporan yang mempersoalkan kemewahannnya.

Tabung Haji hari ini mengesahkan membeli sebidang tanah kepada Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta.

Ketua pegawai eksekutif lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah mengesahkan pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX).

Menurutnya, pembelian itu berkenaan akan digunakan untuk membangunkan satu bangunan kediaman.

Katanya, Tabung Haji menerima diskaun dari nilai harga semasa yang dikemukakan oleh satu jurunilai hartanah bebas.


Tiada ulasan: