Isnin, 4 Mei 2015

Laksana segera Jawatankuasa kabinet mengenai pelaksanaan GST

FREE MALAYSIA TODAY

Jawatankuasa berkenaan perlu memastikan tindakan proaktif dilakukan antara agensi dan jabatan, koordinasi berkesan jabatan dan agensi, serta maklum balas dan tindakan yang cepat tanpa menunggu aduan.


gst meeting

 
ALOR SETAR: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan segera, bagi memastikan sebarang isu yang timbul berkenaan CBP dapat ditangani segera, tanpa dipolemikkan sesetengah pihak.

Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Ram Al Jaffri Saad berkata jawatankuasa itu amat perlu dan bersesuaian, memandangkan rakyat sekarang masih dalam proses penyesuaian diri terhadap pelaksanaan GST.

Oleh itu, jawatankuasa berkenaa juga katanya perlu memastikan tindakan proaktif dilakukan antara agensi dan jabatan, koordinasi berkesan jabatan dan agensi, serta maklum balas dan tindakan yang cepat tanpa menunggu aduan, jelasnya.

Baru-baru ini, Presiden Majlis Belia Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim mencadangkan penubuhan jawatankuasa bagi memastikan koordinasi antara pelaksanaan dan penguatkuasaan GST antara kementerian dan agensi secara bersepadu dapat digerakkan.

Beliau memberi contoh dalam isu kad prabayar baru-baru ini, yang katanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak boleh dipersalahkan 100 peratus, sebaliknya seharusnya kedua-dua pihak lebih banyak berkomunikasi dan bekerjasama.

“Dalam tempoh satu tahun ini, syarikat telco (telekomunikasi) seharusnya berjumpa dan berbincang dengan Kastam untuk memahamkan JKDM mengenai cara pengoperasian mereka di dalam industri telco ini,” katanya

Pada 29 April lalu, JKDM meminta semua pembekal perkhidmatan mengekalkan harga asal kad prabayar mereka berdasarkan kepada konsep ‘tax inclusive’ (termasuk cukai), berkuat kuasa 1 Mei.

Pada hari yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam kenyataan pula berkata isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.

Tidak lama selepas itu, JKDM membuat kenyataan menangguhkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar itu.

Tiada ulasan: