PRK Permatang Pauh PRK Permatang Pauh
 
 
 
PERMATANG PAUH - Kesemua 25 pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh ditutup pada 5 petang ini, setelah dibuka 8 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK itu mencapai 80 peratus tetapi sehingga 5 petang, anggaran yang keluar mengundi ialah 73 peratus.

SPR dalam kenyataan berkata proses pengiraan undi dijalankan selepas proses pengundian tamat pada 5 petang dan keputusan rasmi dijangka diketahui seawal 9 malam ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan saingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Anwar yang bertanding atas tiket PKR menang kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah mengalahkan calon BN Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas Abdullah Zawawi Samsudin, dengan majoriti 11,721 undi.

Terdahulu, proses pengundian hari ini berjalan lancar walaupun terdapat provokasi di beberapa pusat pengundian, antaranya di Guar Perahu, Mengkuang dan Tanah Liat.

Sejak awal pagi, penyokong PKR dan BN berkumpul di bahu-bahu jalan bagi menyatakan sokongan kepada calon mereka, dan anggota polis trafik dilihat mengawal lalu lintas di beberapa kawasan yang sesak.

Suhaimi dan anggota keluarganya mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, di sini, manakala Dr Wan Azizah mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Azman Shah dan Salleh, masing-masing tidak mengundi kerana bukan pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen berkenaan.

Sebanyak 71,252 pengundi biasa layak mengundi hari ini, manakala 549 orang atau 87.6 peratus daripada 627 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka Ahad lepas. - Bernama