Roketkini.com
PERMATANG PAUH: Pengarah Pilihanraya DAP pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, Steven Sim Chee Keong menyifatkan kejayaan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah kemenangan yang amat bermakna untuk Pakatan Rakyat (PR).
Steven berkata, kejayaan mengekalkan kerusi parlimen ini adalah amat manis dan berasaskan tiga perkara.
Pertama katanya, ia menunjukkan bahawa prestasi keseluruhan PR sentiasa utuh apabila berjaya mengekalkan peratusan undi pada 2013.
“Ini menunjukkan bagaimana momentum kelangsungan PR masih ada dan sentiasa utuh,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengiraan Undi IKBN Bukit Mertajam malam tadi.
Kedua menurut Steven, ia juga adalah kemenangan bersama ketiga-tiga parti dalam PR iaitu PKR, PAS dan DAP.
“Ini jelas menggambarkan bahawa PR masih relevan, dan penyokong-penyokong kami, ahli-ahli PR hendak kita bersama serta terus dalam satu koalisi untuk memperjuangkan hak rakyat.
“Tanpa usaha ketiga-tiga komponen, kejayaan ini tidak mungkin akan berlaku,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu lagi, kemenangan di Permatang Pauh selain kejayaan menurunkan majoriti di Rompin juga merupakan tamparan hebat kepada UMNO-BN yang nyata menuju ke arah kehancuran menjelang PRU akan datang.
“Rakyat telah bersuara dengan lantang menentang dasar zalim terutamanya dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kepincangan pentadbiran UMNO-BN dan masalah hutang berbilion ringgit 1MDB,” ujar Steven. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan