Jangan emosi, 'boo' bukan budaya kita, kata SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kolej Komuniti Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
 
PERMATANG PAUH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan sikap segelintir penyokong dan peraih undi dari kedua-dua parti yang bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh yang bertindak agresif dan beremosi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan penyokong calon yang mengejek pihaknya dengan panggilan "boo" amat dikesali sambil menyifatkannya sebagai bukan budaya rakyat Malaysia.

"Nampaknya penyokong sangat agresif berbanding PRK Rompin, di sana penyokong parti tak macam itu.

"Ada juga yang berdiri tepi jalan merayu tapi mereka tak agresif dan emosional (seperti Permatang Pauh), rombongan kami (SPR) pun dia boo kita, itu tak baik bukan budaya kita, mereka ini tak ramai cuma 20 orang saja," katanya pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kolej Komuniti Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya lagi, SPR terpaksa membatalkan lawatannya ke beberapa pusat mengundi selepas dinasihatkan polis untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"SPR hanya pergi ke sebuah sekolah sahaja iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn.

"Pihak polis nasihatkan kita supaya tidak pergi ke beberapa sekolah lain berikutan berlaku perkara tidak diingin seperti baling kerusi, caci-mencaci dan ancaman antara penyokong calon," jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita tentang tahap keselamatan kertas undi undi dibawa keluar ke pusat penjumlahan undi, beliau bagaimanapun berkata perkara itu tidak timbul.

Jelasnya, sebelum kertas undi dibawa keluar, petugas SPR akan memindahkan kiraan undi tersebut ke atas Borang 14.

"Peti undi yang dibawa keluar itu simbolik, ia tidak beri makna kepada jumah pengundi, kerana ia telah dipindah ke Borang 14.

"Yang perlu dijaga keselamatan adalah borang 14," katanya.