Jumaat, 8 Mei 2015

Husam: TH mengaku selamatkan 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata pengakuan Tabung Haji hari ini menunjukkan wang caruman sememangnya digunakan untuk menyelamatkan firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Husam berkata, pengakuan Tabung Haji hari ini juga bercanggah dengan kenyataan asal oleh pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menafikan mengenai pembelian tanah milik 1MDB.

"Pembelian ini membuktikan Tabung Haji telah digunakan untuk menyelamatkan 1MDB secara kecil kecilan.

"Ini membuktikan 1MDB dalam keadaan yang amat tersepit sehingga terpaksa melibatkan institusi kewangan negara yang lain untuk menyelamatkan kedudukannya dan ini amat membimbangkan.

"Saya berpendapat pencarum berhak membantah tindakan Tabung Haji dipergunakan sesuka hati untuk menyelamatkan 1MDB," kata Husam.

Pengerusi lembaga berkenaan sepatutnya sudah tahu mengenai butiran transaksi berkenaan, katanya lagi yang mahu Abdul Azeez meletak jawatan.

“Adakah pengerusi Tabung Haji cuba berbohong?

“Jika beliau sudah mengetahuinya melalui mesyuarat lembaga Tabung Haji kenapa semalam beliau menafikannya kecuali jika beliau mempunyai niat yang tidak baik.

Tak layak pimpin Tabung Haji

“Pemimpin seperti ini tidak layak mempengerusikan lembaga sebesar Tabung Haji yang menguruskan dana awam yang besar. Saya mencadangkan beliau meletakkan jawatan pengerusi Tabung Haji," katanya.

Menurut Husam lagi, pengakuan Tabung Haji hari ini juga menunjukkan bahawa tanah berkenaan tetap dijual dengan harga yang berlipat kali ganda.

“Pada awalnya, 1MDB hanya mendapat plot pertama dengan harga RM4 juta daripada kerajaan dan kini Tabung Haji perlu membayar RM188.5 juta kepada syarikat 1MDB,” katanya.

Husam juga membangkitkan semula maklumat lain berhubung pembelian tanah tersebut yang dibocorkan dalam satu blog semalam.

Blog tersebut antara lainnya menyebut, Tabung Haji disyaratkan untuk membayar sepenuhnya harga tanah tersebut sebaik sahaja perjanjian ditandatangani.

Menurut Husam, beliau bimbang syarat tersebut mungkin akan memberi ruang untuk perbuatan pecah amanah ke atas wang caruman pendeposit Tabung Haji.


Tiada ulasan: