PASUKAN badminton negara akan menjadi perhatian pada Kejohanan Piala Sudirman di Dongguan, China, bermula esok, dengan kehadiran semula Datuk Lee Chong Wei selepas penggantungannya selama lapan bulan.

Biarpun menghadapi laluan sukar dalam kejohanan berpasukan campuran itu namun gaya persembahan dan kekuatan mental Chong Wei akan menarik perhatian apabila membuka langkah dengan menentang juara hatrik, Korea Selatan, esok.

Piala Sudirman merupakan kejohanan pertama Chong Wei selepas menjalani hukuman penggantungan atas kesalahan doping pada Ogos, tahun lepas.

Selaku ketua pasukan, Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia dan kini merudum pada kedudukan ke-46, dijangka berdepan dengan pemain nombor lima dunia, Son Wan Ho, pada aksi pembukaan Kumpulan 1D esok.

Berdasarkan rekod lapan kali pertemuan, pemain Korea Selatan berusia 26 tahun itu hanya sekali berjaya menewaskan Chong Wei iaitu pada Kejohanan Terbuka India 2012.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin dengan tahap kecergasan Chong Wei selepas pemain itu tidak berhenti daripada meneruskan latihan dalam tempoh penggantungan.

Beliau mengakui Korea Selatan memiliki kekuatan seimbang dan agak sukar untuk melepasi pasukan itu malah berharap skuad negara dapat menewaskan India pada pertemuan Isnin ini untuk melangkah ke suku akhir.

Malaysia diundi bersama Korea Selatan dan India dalam kumpulan 1D dan skuad negara perlu menang satu perlawanan untuk mara ke suku akhir.

Selain Chong Wei, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei menduduki ranking ke-187 dunia.

Skuad beregu lelaki, Goh V.Shem/Tan Wee Kiong menduduki ranking ke-29 dunia, Teo Kok Siang/Mak Hee Chun (85), pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi (56), Lim Yin Fun (111).

Beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khei Wei (11), Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Choo (25) dan beregu campuran, Wong Fai Yin/Chow Mei Kuan (47) dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menduduki ranking ke-70 dunia.

Berdasarkan ranking semasa, Korea memiliki kelebihan apabila barisan pemain itu berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Selain Wan Ho, seorang lagi pemain perseorangan lelaki ialah Lee Hyun Il yang menduduki ranking ke-16 dunia manakala beregu lelaki, Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong merupakan beregu nombor satu dunia diikuti Gi Jung Kim/Kim Sa Rang (9).

Dalam acara perseorangan wanita, Korea mempertaruhkan Sung Ji Hyun yang menghuni ranking ketujuh dunia dan pemain ranking ke-13 dunia, Bae Yeon Ju.

Dalam acara beregu wanita, Korea akan membariskan Lee So Hee/Shin Seung Chan (8) dan Chang Ye Na/Kim So Yeong (13).

Dalam acara beregu campuran, Korea memilik gandingan nombor lapan dunia, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dan Shin Baek Choel/Chang Ye Na (37).

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu ialah melangkah ke separuh akhir dan berkongsi tangga ketiga bersama Indonesia pada edisi 2009 di Guangzhao, China manakala pencapaian tercorot apabila tewas peringkat kumpulan ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2013.

Kejohanan berpasukan campuran itu melibatkan 35 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan 12 pasukan ranking terbaik disenaraikan dalam Kumpulan 1, yang dibahagikan kepada empat kumpulan kecil.

Sebanyak 12 pasukan ranking terbaik akan bersaing untuk merebut trofi kejohanan manakala pasukan dalam kumpulan 2, 3 dan 4 akan bertanding untuk memperbaiki ranking masing-masing.

Penyandang juara China, mendapat undian agak baik dan dijangka berdepan laluan mudah apabila diundi bersama Jerman dan Thailand dalam kumpulan 1A.

Kuasa besar badminton dunia itu muncul juara sebanyak sembilan kali iaitu pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Sementara juara Piala Thomas tahun lepas, Jepun diundi bersama Taiwan dan Amerika Syarikat dalam 1B manakala Denmark, Indonesia dan England dalam Kumpulan 1C. - Bernama