MALAYSIAKINI
Keadaan di Kubang Semang berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri Penanti
semakin meriah apabila penyokong PKR dan BN semakin bertambah.
Dianggarkan penyokong PKR sekitar 300 orang manakala penyokong BN kira-kira 100 orang.
Anggota polis kini semakin bertambah bagi mengawal situasi di kawasan itu.
Mereka meletakkan pita halangan polis di kedua-dua bahu jalan bagi memastikan para penyokong tidak menghalang lalulintas.
Terdapat juga penyokong PKR yang membawa buluh yang digantung mi segera
dan duit sebagai simbol - mee segera dikenakan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) dan melaungkan "Reformasi".
Penyokong BN pula membunyikan vuvuzela dan mengibarkan bendera sambil
menyanyikan lagi "Inilah barisan kita" dan turut membalas laungan PKR
dengan "Transformasi"
Sementara itu, Bernama melaporkan 24 pusat mengundi dengan 130 saluran
untuk PRK Parlimen Permatang dibuka mulai 8 pagi ini. Pusat mengundi itu
akan ditutup pada 5 petang.
Calon BN Suhaimi Sabudin mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu.
Manakala calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.
Calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan Salleh Isahak (Bebas) tidak mengundi.
Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi telah diadakan pada Ahad
lepas di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan di berek kelamin Balai Polis
Kubang Semang.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim
Abdullah berkata SPR menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80
peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.
"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80
peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei,
2013," katanya.
Beliau berkata keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh dijangka diketahui seawal 9 malam.
Proses pengiraan undi PRK ini akan dilakukan di tempat mengundi dan
bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaik sahaja proses pengundian
tamat pada 5 petang ini.
Hari ini merupakan cuti peristiwa di Pulau Pinang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan