MALAYSIAKINI
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan dua pihak lagi kerana tidak membenarkannya
mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh esok.
Anwar, bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula
itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lupur melalui
Tetuan Daim & Gamany dan menamakan SPR, pengerusinya Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan
pertama, kedua dan ketiga.
Dalam permohonannya, Anwar memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai
kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119
Perlembagaan Persekutuan, selain menuntut pampasan dan kos.
Oleh itu Anwar, 68, menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.
Anwar dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada
30 April lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul
Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.
Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada kedua-dua
defendan, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai
pengundi dan bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan juga
mencabuli haknya di bawah Perlembagaan.
Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya
untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana Pilihan Raya
Umum (PRU) nanti.
Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan
Permatang Pauh sebelum dijatuhin hukuman oleh Mahkamah Persekutuan pada
10 Feb lepas dan pada PRU ke-13 dua tahun lepas beliau telah mengundi di
kawasan itu.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan
dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya
Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.
Peguam Anwar, N.Surendran memberitahu media bahawa anak guamnya
memfailkan saman itu kerana SPR tidak membenarkannya mengundi di PRK
Permatang Pauh esok dan pihaknya akan cuba mendapatkan tarikh
pendengaran secepat mungkin.
Ditanya sama ada Anwar juga membuat permohonan untuk mengundi kepada SPR
semasa menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan
menyalahgunakan kuasa pada PRU 1999 dan 2004, Surendran berkata Anwar
tidak membuat permohonan itu.
Seorang lagi peguamnya Latheefa Koya berkata kes itu akan menjadi kes
ujian kerana mengikut Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan seseorang
banduan yang telah berdaftar sebagai pengundi sebelum disabitkan
kesalahan adalah layak mengundi.
Anak perempuan keempat Anwar, Nurul Ilham turut hadir di mahkamah bersama suaminya Reza Mohd Rafie.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan