Aminuddin Yahaya
Himpunan Tolak Icerd atau juga dikenali sebagai Himpunan 812 adalah
satu himpunan gergasi bersejarah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah
Malaysia. Kita berjaya mengumpul lebih sejuta orang Melayu dan
Bumiputera. Ramai yang terkejut dengan kebangkitan ini. Malah, mereka
memandang lekeh dan tidak sangka orang Melayu sanggup turun dan bersatu
hati.
Peristiwa ini sangat signifikan, bukan sahaja kerana ini
adalah himpunan rakyat yang paling ramai dalam sejarah Malaysia tetapi
ini adalah perhimpunan yang berjaya mengubah pendirian penting kerajaan.
Hebat dan signifikannya himpunan ini, sehingga Erdogan pun kagum!
Ramai
pihak yang kagum dengan kemampuan Gerakan Pembela Ummah (Ummah)
mengumpul dan mengerahkan rakyat untuk berhimpun tetapi ramai yang tidak
ambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa bersejarah negara ini,
terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Dalam penulisan
ini, saya akan kupas beberapa pengajaran penting yang patut diambil dan
diingati, lebih-lebih lagi terlalu banyak perkara yang berlaku di negara
kita sejak kebelakangan ini.
Majoriti penentu hala tuju negara
Golongan
majoriti di negara kita ialah orang Melayu Islam. Mereka inilah yang
menjadi penentu kepada hala tuju dan masa depan negara. Secara
keseluruhannya, yang menyokong agenda dan pendekatan liberal adalah
minoriti dan sangat terpencil. Apatah lagi orang Islam yang
menyokongnya; sangatlah sedikit.
Majoriti umat Islam yang
berbangsa Melayu berpegang kuat dengan agenda Islam, berpegang dengan
syariat Islam dan tidak bersetuju dengan prinsip liberalisme dan
pluralisme dalam beragama. Maka, agenda Islamisasi perlu diraikan dan
diangkat setinggi-tingginya; bukannya liberalisme dan pluralisme! Jika
tidak, kekacauan dan kerosakan akan berlaku akibat ketidakpuasan hati
dan ketidaktenteraman dari golongan majoriti ini.
Lihat sahaja
rasa tidak puas hati dan tidak tenteram dalam kalangan umat Islam pada
hari ini. Sedang memuncak naik, hari demi hari.
Orang Melayu Islam belum cukup dipengaruhi bukan Islam
Seperti
yang kita semua maklum, kerajaan Malaysia Baru pada hari ini dikuasai
oleh bukan Islam. Ini bukan satu tuduhan liar atau cakap kosong kerana
secara faktanya, majoriti ahli parlimen kerajaan adalah bukan Islam. Dan
seperti yang kita semua saksikan, DAP adalah parti yang paling lantang
dalam kerajaan sekarang.
Walaupun begitu, DAP masih belum mampu
mempengaruhi majoriti orang Melayu walaupun mereka berusaha dengan
sangat gigih. Orang Melayu masih ada reservation terhadap agenda
perjuangan DAP. Ini kerana DAP sering terpalit dan dilihat sebagai tidak
mesra kepada agenda Islam dan Melayu dan sentiasa menjuarai golongan
bukan Islam. Sebab itu parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan sangat
penting bagi mereka.
Maka, jika kerajaan atau mana-mana pihak
sentiasa melayan kehendak-kehendak DAP, maka golongan majoriti ini akan
menjauhkan diri dari mereka. Oleh itu, jangan dilayan sangat kehendak
DAP dan fokus sahaja kepada kehendak majoriti.
Isu Islam dan kedudukan Melayu sangat sensitif
Isu-isu
yang menyentuh agama Islam dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera
adalah sangat sensitif. Hakikat ini gagal difahami oleh orang-orang
bukan Islam sehingga mereka mengambil ringan terhadap tindakan-tindakan
yang menggugat kedua-dua perkara sensitif ini.
Penghinaan
terhadap Rasulullah, Yang Di-Pertuan Agong, Islamofobia dan Melayufobia
semakin subur dalam kalangan bukan Islam di negara kita tatkala orang
Melayu Islam adalah majoriti.
Ketidakpuasan hati dan ketidaktenteraman
orang Melayu Islam semakin hari semakin membara.
Mereka rasa
mereka selamat berselindung di bawah keadilan dan kesamarataan tetapi
mereka lupa pada peruntukan-peruntukan perlembagaan negara.
Orang Melayu sanggup melupakan perbezaan politik
Selama ini kita sangka bahawa tembok fahaman politik kepartian dalam kalangan orang Melayu mustahil dipecahkan.
Bagaimanapun,
orang Melayu sudah mampu dan sanggup mengenepikan perbezaan fahaman
politik masing-masing apabila kedudukan agama dan bangsa mereka digugat
dengan begitu dahsyat. Lebih-lebih lagi, apabila pemimpin-pemimpin bukan
Islam terutamanya dari DAP menyokong kuat agenda ratifikasi Icerd ini
membakarkan lagi sentimen orang Melayu terhadap DAP. Lebih malang lagi,
seruan meratifikasi Icerd ini disambut oleh majoriti masyarakat bukan
Islam. Fenomena ini menjadikan hubungan masyarakat antara kaum dan agama
agak tegang pada masa itu.
Orang Melayu sudah mula sedar bahawa
persengketaan politik kepartian yang berlaku selama ini adalah
merugikan. Ini terbukti apabila dua parti Melayu Islam iaitu Umno dan
PAS serta parti-parti lain sanggup bersama dan menyokong Ummah untuk
menentang ratifikasi Icerd. Sejak dari peristiwa ini, kesatuan dan
kerjasama antara parti-parti Melayu Islam ini semakin kuat dan matang.
Alhamdulillah.
Suara NGO bukan tin kosong
Usaha
menyedarkan rakyat mengenai bahaya konvensyen antarabangsa Icerd adalah
bermula dari NGO Melayu yang bersatu bawah Ummah bagi menyuarakan
kebimbangan mereka terhadap Icerd.
Seruan ini digerakkan ke seluruh
negara, di mana banyak himpunan-himpunan kecil dianjurkan oleh NGO
Melayu setempat pada setiap minggu di masjid-masjid dan tempat-tempat
awam.
Seruan ini disambut pula secara rasminya oleh ahli-ahli
parlimen Melayu Islam khususnya dari PAS dan Umno selepas memorandum
bantahan terhadap Icerd diserahkan di parlimen. Kemudian,
pemimpin-pemimpin Melayu Islam dari parti kerajaan juga mula bersuara
mengenai kegusaran mereka terhadap Icerd.
Sebab itulah
perhimpunan ini bukannya perhimpunan politik kerana bukan digerakkan
oleh parti politik, tetapi NGO. Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk
menyokong perhimpunan ini, termasuklah parti-parti politik sama ada dari
kerajaan mahupun pembangkang. Maka, tiada isu jika PAS dan Umno
menyokong perhimpunan ini.
Oleh itu, kemampuan NGO untuk bersuara
dan membangkitkan kesedaran rakyat mengenai sesebuah isu tidak wajar
dipandang lekeh dan kerdil. Pentingnya suara NGO-NGO sudah dibuktikan
melalui bantahan terhadap Icerd yang diterjemahkan kepada peristiwa
himpunan yang terbesar dalam sejarah Malaysia sehingga mampu mengubah
pendirian besar kerajaan. Dengan itu, Malaysia berjaya diselamatkan dari
ancaman antarabangsa yang besar, iaitu Icerd.
Duit bukan faktor utama untuk menggerakkan suara rakyat
Hanya
mereka yang bantut pemikirannya sahaja yang mengatakan bahawa
perhimpunan ini telah ditaja oleh parti-parti politik tetapi sebaliknya
duit datang dari rakyat itu sendiri. Lagipun, jumlah yang dibelanjakan
tidaklah mahal tetapi sederhana dan tidak padan dengan bilangan jutaan
yang hadir.
Mereka yang hadir adalah mereka yang mempunyai
hati-hati yang ikhlas untuk mempertahankan agama dan bangsa walaupun
jauh, sesak dan panas. Ini bererti bahawa semangat juang yang jitu
adalah lebih penting berbanding wang ringgit.
Konklusi
Himpunan
ini telah menggegarkan dunia bahawa betapa umat Islam di rantau ini
tidak boleh diperkotak katikkan dengan mudah dan ini membimbangkan
pelbagai pihak. Budaya dan pemikiran barat seperti yang diperjuangkan
oleh penyokong-penyokong Icerd jelas tidak sesuai dan telah ditolak
sekeras-kerasnya oleh umat Islam di negara ini. Jangan ada lagi
puak-puak liberal yang cuba membawa nilai Barat ke dalam negara
Malaysia.
Mungkin ramai yang mengkritik bahawa orang Melayu malas,
tetapi mereka lupa bahawa orang Melayulah pejuang yang mempertahankan
dan mendaulatkan Islam di negara ini.
Jadi, semua ini perlu
diambil kira oleh semua pihak terutamanya orang bukan Melayu dan bukan
Islam supaya tidak tersalah langkah. Sebelum Melayu bangkit, jangan
digugat kedudukan agama, bangsa dan raja mereka.
AMINUDDIN YAHAYA ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah).