Himpunan Tolak Icerd atau juga dikenali sebagai Himpunan 812 adalah satu himpunan gergasi bersejarah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Kita berjaya mengumpul lebih sejuta orang Melayu dan Bumiputera. Ramai yang terkejut dengan kebangkitan ini. Malah, mereka memandang lekeh dan tidak sangka orang Melayu sanggup turun dan bersatu hati.
Peristiwa ini sangat signifikan, bukan sahaja kerana ini adalah himpunan rakyat yang paling ramai dalam sejarah Malaysia tetapi ini adalah perhimpunan yang berjaya mengubah pendirian penting kerajaan. Hebat dan signifikannya himpunan ini, sehingga Erdogan pun kagum!
Ramai pihak yang kagum dengan kemampuan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengumpul dan mengerahkan rakyat untuk berhimpun tetapi ramai yang tidak ambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa bersejarah negara ini, terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Dalam penulisan ini, saya akan kupas beberapa pengajaran penting yang patut diambil dan diingati, lebih-lebih lagi terlalu banyak perkara yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini.
Majoriti penentu hala tuju negara
Golongan majoriti di negara kita ialah orang Melayu Islam. Mereka inilah yang menjadi penentu kepada hala tuju dan masa depan negara. Secara keseluruhannya, yang menyokong agenda dan pendekatan liberal adalah minoriti dan sangat terpencil. Apatah lagi orang Islam yang menyokongnya; sangatlah sedikit.
Majoriti umat Islam yang berbangsa Melayu berpegang kuat dengan agenda Islam, berpegang dengan syariat Islam dan tidak bersetuju dengan prinsip liberalisme dan pluralisme dalam beragama. Maka, agenda Islamisasi perlu diraikan dan diangkat setinggi-tingginya; bukannya liberalisme dan pluralisme! Jika tidak, kekacauan dan kerosakan akan berlaku akibat ketidakpuasan hati dan ketidaktenteraman dari golongan majoriti ini.
Lihat sahaja rasa tidak puas hati dan tidak tenteram dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Sedang memuncak naik, hari demi hari.
Orang Melayu Islam belum cukup dipengaruhi bukan Islam
Seperti yang kita semua maklum, kerajaan Malaysia Baru pada hari ini dikuasai oleh bukan Islam. Ini bukan satu tuduhan liar atau cakap kosong kerana secara faktanya, majoriti ahli parlimen kerajaan adalah bukan Islam. Dan seperti yang kita semua saksikan, DAP adalah parti yang paling lantang dalam kerajaan sekarang.
Walaupun begitu, DAP masih belum mampu mempengaruhi majoriti orang Melayu walaupun mereka berusaha dengan sangat gigih. Orang Melayu masih ada reservation terhadap agenda perjuangan DAP. Ini kerana DAP sering terpalit dan dilihat sebagai tidak mesra kepada agenda Islam dan Melayu dan sentiasa menjuarai golongan bukan Islam. Sebab itu parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan sangat penting bagi mereka.
Maka, jika kerajaan atau mana-mana pihak sentiasa melayan kehendak-kehendak DAP, maka golongan majoriti ini akan menjauhkan diri dari mereka. Oleh itu, jangan dilayan sangat kehendak DAP dan fokus sahaja kepada kehendak majoriti.
Isu Islam dan kedudukan Melayu sangat sensitif
Isu-isu yang menyentuh agama Islam dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera adalah sangat sensitif. Hakikat ini gagal difahami oleh orang-orang bukan Islam sehingga mereka mengambil ringan terhadap tindakan-tindakan yang menggugat kedua-dua perkara sensitif ini.
Penghinaan terhadap Rasulullah, Yang Di-Pertuan Agong, Islamofobia dan Melayufobia semakin subur dalam kalangan bukan Islam di negara kita tatkala orang Melayu Islam adalah majoriti.
Ketidakpuasan hati dan ketidaktenteraman orang Melayu Islam semakin hari semakin membara.
Mereka rasa mereka selamat berselindung di bawah keadilan dan kesamarataan tetapi mereka lupa pada peruntukan-peruntukan perlembagaan negara.
Orang Melayu sanggup melupakan perbezaan politik
Selama ini kita sangka bahawa tembok fahaman politik kepartian dalam kalangan orang Melayu mustahil dipecahkan.
Bagaimanapun, orang Melayu sudah mampu dan sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik masing-masing apabila kedudukan agama dan bangsa mereka digugat dengan begitu dahsyat. Lebih-lebih lagi, apabila pemimpin-pemimpin bukan Islam terutamanya dari DAP menyokong kuat agenda ratifikasi Icerd ini membakarkan lagi sentimen orang Melayu terhadap DAP. Lebih malang lagi, seruan meratifikasi Icerd ini disambut oleh majoriti masyarakat bukan Islam. Fenomena ini menjadikan hubungan masyarakat antara kaum dan agama agak tegang pada masa itu.
Orang Melayu sudah mula sedar bahawa persengketaan politik kepartian yang berlaku selama ini adalah merugikan. Ini terbukti apabila dua parti Melayu Islam iaitu Umno dan PAS serta parti-parti lain sanggup bersama dan menyokong Ummah untuk menentang ratifikasi Icerd. Sejak dari peristiwa ini, kesatuan dan kerjasama antara parti-parti Melayu Islam ini semakin kuat dan matang. Alhamdulillah.
Suara NGO bukan tin kosong
Usaha menyedarkan rakyat mengenai bahaya konvensyen antarabangsa Icerd adalah bermula dari NGO Melayu yang bersatu bawah Ummah bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Icerd.
Seruan ini digerakkan ke seluruh negara, di mana banyak himpunan-himpunan kecil dianjurkan oleh NGO Melayu setempat pada setiap minggu di masjid-masjid dan tempat-tempat awam.
Seruan ini disambut pula secara rasminya oleh ahli-ahli parlimen Melayu Islam khususnya dari PAS dan Umno selepas memorandum bantahan terhadap Icerd diserahkan di parlimen. Kemudian, pemimpin-pemimpin Melayu Islam dari parti kerajaan juga mula bersuara mengenai kegusaran mereka terhadap Icerd.
Sebab itulah perhimpunan ini bukannya perhimpunan politik kerana bukan digerakkan oleh parti politik, tetapi NGO. Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk menyokong perhimpunan ini, termasuklah parti-parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang. Maka, tiada isu jika PAS dan Umno menyokong perhimpunan ini.
Oleh itu, kemampuan NGO untuk bersuara dan membangkitkan kesedaran rakyat mengenai sesebuah isu tidak wajar dipandang lekeh dan kerdil. Pentingnya suara NGO-NGO sudah dibuktikan melalui bantahan terhadap Icerd yang diterjemahkan kepada peristiwa himpunan yang terbesar dalam sejarah Malaysia sehingga mampu mengubah pendirian besar kerajaan. Dengan itu, Malaysia berjaya diselamatkan dari ancaman antarabangsa yang besar, iaitu Icerd.
Duit bukan faktor utama untuk menggerakkan suara rakyat
Hanya mereka yang bantut pemikirannya sahaja yang mengatakan bahawa perhimpunan ini telah ditaja oleh parti-parti politik tetapi sebaliknya duit datang dari rakyat itu sendiri. Lagipun, jumlah yang dibelanjakan tidaklah mahal tetapi sederhana dan tidak padan dengan bilangan jutaan yang hadir.
Mereka yang hadir adalah mereka yang mempunyai hati-hati yang ikhlas untuk mempertahankan agama dan bangsa walaupun jauh, sesak dan panas. Ini bererti bahawa semangat juang yang jitu adalah lebih penting berbanding wang ringgit.
Konklusi
Himpunan ini telah menggegarkan dunia bahawa betapa umat Islam di rantau ini tidak boleh diperkotak katikkan dengan mudah dan ini membimbangkan pelbagai pihak. Budaya dan pemikiran barat seperti yang diperjuangkan oleh penyokong-penyokong Icerd jelas tidak sesuai dan telah ditolak sekeras-kerasnya oleh umat Islam di negara ini. Jangan ada lagi puak-puak liberal yang cuba membawa nilai Barat ke dalam negara Malaysia.
Mungkin ramai yang mengkritik bahawa orang Melayu malas, tetapi mereka lupa bahawa orang Melayulah pejuang yang mempertahankan dan mendaulatkan Islam di negara ini.
Jadi, semua ini perlu diambil kira oleh semua pihak terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam supaya tidak tersalah langkah. Sebelum Melayu bangkit, jangan digugat kedudukan agama, bangsa dan raja mereka.
AMINUDDIN YAHAYA ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan