Jumaat, 1 Mac 2019

Saksi inkues Adib: Perusuh serang, pecahkan cermin kereta saya

Bernama  

   

INKUES ADIB | Seorang saksi hari ini menceritakan bagaimana sekumpulan individu menyerang kereta yang dinaikinya ketika kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada awal pagi 27 Nov lalu.

Saksi ke-19, Chan Wei Jie, 24 berkata Perodua Kancil yang dinaikinya dan dipandu bapa saudaranya itu mengalami kerosakan teruk antaranya pada bampar depan selain cermin tingkap dipecahkan.

Katanya, dia dan bapa saudaranya dalam perjalanan pulang dari USJ 16 ke USJ 21 pada 1.15 pagi ketika kejadian.

“Pada mulanya, (perusuh) hanya mengelilingi dan menjerit. Seorang lelaki kemudian memanjat bahagian depan (bonet) kereta,” katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin yang juga pegawai pengendali pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, dia kemudian keluar dari kereta memandangkan ada serpihan (selepas cermin tingkap kereta dipecahkan) dan kemudian berdiri di tepi jalan.

Faten: Semasa anda berbuat demikian, di manakah bapa saudara anda?

Chan: Masih di dalam kereta. Orang ramai berteriak macam-macam ke arah bapa saudara saya. Ada yang menyuruhnya ‘jalan’ dan ada yang meminta ‘berhenti dan turun’.

Faten: Selain berteriak, adakah mereka lakukan apa-apa terhadap kereta?

Chan: Mula-mula tiada, mereka hanya mengelilingi kereta dan menjerit ke arah kami namun selepas bapa saudara saya cuba menghidupkan kereta mereka mula memukul kereta dengan tangan dan kayu.

Chan berkata selepas kumpulan itu berhenti menyerang kereta, tiga individu daripada kumpulan tersebut membantu Chan dan bapa saudaranya masuk semula ke dalam kereta.
Dia juga berkata beberapa individu daripada kumpulan itu kemudian meminta maaf kepadanya dan bapa saudaranya serta meminta mereka membuat laporan polis.

Chan berkata dia dan pak ciknya kemudian terus ke balai polis USJ 8 selepas kejadian.

Katanya sebelum serangan, dia mendengar bunyi kenderaan berlanggar semasa kenderaan Fire Rescue Tender (FRT) bergerak mengundur.

Menurut saksi tersebut ketika itu keretanya berada pada jarak lima hingga enam buah kenderaan dari trak tersebut.

Faten: Adakah trak (FRT) melanggar kereta anda?

Chan: Ya, kereta saya terpusing 180 darjah (selepas dilanggar oleh trak FRT).

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 19 Mac.

Setakat ini 19 saksi telah dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang bermula 11 Feb lalu.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lalu dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues memberitahu pemberita beliau telah meminta mahkamah membatalkan prosiding pada 4 dan 5 Mac ini kerana permohonan jawatankuasa bertindak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield agar inkues digantung, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac.

Beliau juga berkata pada sesi seterusnya, inkues akan mendengar keterangan ahli patologi dan ahli kimia.- Bernama


Tiada ulasan: