Jumaat, 1 Mac 2019

Wajibkan vaksin bukan penyelesaian, Unicef ingatkan kerajaan

Kerajaan diseru wajibkan vaksin dengan kemunculan semula 
campak dan difteria. (gambar AFP)

PETALING JAYA: Unicef, badan dunia yang melindungi hak kanak-kanak menegaskan, mewajibkan vaksin bukanlah cara terbaik menangani penyakit yang mengancam nyawa seperti campak dan difteria.

Marianne Clark-Hattingh, wakilnya di Malaysia memberitahu, pengalamannya menunjukkan tidak banyak bukti menunjukkan undang-undang mandatori memperbaik liputan perlindungan vaksin.

Peringatan ini sehari selepas Kementerian Kesihatan menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji cadangan dan gesaan menjadikan vaksin wajib, berikutan kematian budak lelaki berusia 2 tahun akibat difteria di Johor Bahru pada 21 Februari.

Dia tidak pernah diimunkan.

Lima lagi kanak-kanak, yang dilaporkan ada kontrak dengan mangsa, juga disahkan positif difteria dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas itu akan dikepalai bahagian kawalan penyakit dan bahagian pembangunan kesihatan keluarga.

Dalam kenyataan hari ini, Clark-Hattingh bimbang dengan kemunculan kembali campak dan difteria di Malaysia dan peningkatan jumlah ibu bapa yang tidak mahu anak divaksinkan.

“Menghalang kanak-kanak yang tidak divaksin daripada memasuki sekolah adalah pelanggaran hak mereka mendapatkan pelajaran.

“Unicef berpendirian jika kanak-kanak dinafikan akses ke sekolah, maka kerajaan bertanggungjawab memastikan ada peraturan bagi kanak-kanak ini menerima pelajaran,” katanya.

Beliau menyokong usaha kerajaan mengiktiraf betapa pentingnya vaksinasi, namun mengingatkan tentang perlunya memahami alasan sebalik keengganan ibu bapa membenarkan anak divaksin.

“Kita perlu memahami mengapa ibu bapa enggan dan memberi mereka maklumat betul dan adakan kempen bersasaran.

“Kita juga perlu berhubung secara berterusan dengan pihak penjagaan kesihatan untuk memperbaiki komunikasi dengan pelanggan.

“Kepentingan seorang kanak-kanak dipenuhi apabila ibu bapa dan penjaga bertindak melindungi kanak-kanak daripada penyakit berjangkit melalui vaksinasi berdasarkan keputusan yang dimaklumkan atau digerakkan oleh tindakan dan campurtangan tanpa paksaan,” katanya.

Unicef juga menggesa pekerja kesihatan swasta dan awam memastikan setiap kanak-kanak dalam setiap komuniti disuntik vaksin.

“Malaysia sebagai penandatangan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak bertanggungjawab memberi kanak-kanak penjagaan kesihatan dan pelajaran terbaik,” katanya.

Unicef pernah memberi amaran mengenai peningkatan kes campak di seluruh dunia.

Katanya, 98 negara melaporkan lebih banyak kes campak pada 2018 berbanding 2017. Ini menghakis kemajuan terhadap penyakit yang mudah dielak tetapi sangat berbahaya itu.

Tiada ulasan: