PRK SEMENYIH | Tinjauan yang dijalankan badan kaji selidik, Ilham Centre terhadap 378 responden mendapati BN mampu melakukan kejutan pada pilihan raya kecil Semenyih yang berlangsung esok.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dilakukan secara tatap muka bermula pada 26-28 Februari lalu meliputi segmentasi kaum, jantina, umur pengundi dan lokaliti.
Berdasarkan kaji selidik itu antara lain mendapati calon Pakatan Harapan (PH), Aiman Zainali dilihat tidak mempunyai aura yang cukup untuk menggalas tugas sebagai calon parti kerajaan.
"Tahap penerimaan pengundi terhadap calon (PH) berada pada paras 34.4 peratus merupakan aras yang menunjukkan calon ini tidak mampu menyakinkan pengundi yang ditemui dalam kajian ini," kata Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal.
Ini katanya menyebabkan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi, selain kematangan calon menjadi kayu ukur dan penilaian pengundi.
Menurut Ilham, selepas PRK Cameron Highlands, momentum kemenangan BN juga berjaya menyuntik semangat jentera parti itu untuk memberikan tekanan kepada PH pada PRK Semenyih.
Pengundi Melayu beralih arah
"Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.
Sementara itu pengundi pula lebih tertarik kepada isu
melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus
berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.
"Sebanyak 61.4 peratus menyatakan mereka tidak teruja dengan pengumuman tersebut dan bakinya menyambut baik inisiatif kerajaan ini.
"Selain itu, 74.6 peratus
responden bersetuju bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto
dan 58.7 peratus bersetuju bahawa kerajaan PH gagal membela
Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan," katanya.
PH perlukan formula ajaib
"PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU-14 yang lalu.
"Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih," kata Azlan.
Kaji selidik dijalankan itu juga mendapati strategi PH tidak berkesan dan terlalu defensif melibatkan jentera, calon yang ditampilkan malahan isu-isu yang diketengahkan.
Selain bergantung kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam memobilisasi gerakan kempen, kehadiran pimpinan PH yang lain juga tidak memberikan impak besar kepada pengundi.
84 peratus pengundi PAS undi BN
"Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini," kata Azlan.
Sementara itu rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN meskipun parti Islam itu dilihat tidak agresif menyerang PH dan presidennya, Abdul Hadi Awang tidak turun membantu kempen BN.
"Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS.
"Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan