Jumaat, 1 Mac 2019

Mawi pecah rahsia, Tiada Tajuk jadi judul filem

 

Selepas lebih setahun menyimpan rahsia daripada umum, pengarah dan penerbit Mawi akhirnya mengumumkan dia memilih Tiada Tajuk sebagai judul filem pertama arahannya.
 
Menurut Mawi yang sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi itu, pada awal perancangannya untuk menghasilkan filem berkenaan, dia sememangnya tidak mempunyai sebarang ilham berhubung tajuk yang ingin digunakan.

“Setelah lebih setahun saya rahsiakan daripada media, hari ini secara rasmi semuanya akan terjawab.

"Judul filem ini ialah Tiada Tajuk," katanya.

Mawi ditemui pada majlis pelancaran karyanya itu di depan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani sebelum ini didakwa sengaja tidak meletak sebarang tajuk ke atas karya sulungnya itu bertujuan membina publisiti.

Bagaimanapun, Mawi, 37, tampil menafikan ketiadaan tajuk filemnya bukanlah gimik yang sengaja diada-adakan.

“Saya cuma mahu tampilkan kelainan apabila muncul dengan sebuah filem,” katanya seperti dilapor media.

Mawi menjelaskan pada ketika itu, dia sebenarnya masih mencari-cari tajuk bersesuaian untuk digunakan bagi filem terbitan Mawi World Entertainment, syarikat yang diasaskannya.
Sementara itu, Mawi yang juga bergelar pelakon berkata, peminat juga berpeluang membawa pulang hadiah lumayan melalui pembelian tiket Tiada Tajuk.

“Peserta boleh menyertai peraduan tonton dan menang dengan memuat turun aplikasi Mawi World menerusi platform Play Store atau App Store.

“Untuk 1 tiket peserta boleh utarakan 1 tajuk berserta 1 tagline,” katanya.

Antara hadiah menanti peserta adalah seperti pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian ke Australia, sebuah motosikal jenama Yamaha Y15, atau sebuah kereta jenama Proton Bezza.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Bukan Propaganda itu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dari segi hasil kutipan filemnya yang bakal menjengah pawagam pada 4 April depan.

“Memang tak nak rugi kalau boleh. Tapi jika dapat balik modal pun alhamdulillah.

“Mana tahu duit itu nanti boleh buat modal filem lain pula,” katanya.


Tiada ulasan: