Memaparkan catatan dengan label PRK - TANJUNG PIAI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - TANJUNG PIAI. Papar semua catatan

Sabtu, 23 November 2019

2 isu Berjasa ketengahkan di Tg Piai dapat perhatian kerajaan

fazleen safina

 

Sepanjang kempen, penduduk terima agenda penyatuan Melayu Islam

BANGI – Presiden Berjasa, Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz berpuas hati walaupun tidak berjaya menawan Tanjung Piai, partinya tetap berbakti kepada penduduk kawasan itu menerusi isu-isu yang cuba disuarakan sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali panggilan Tok Badh mengakui sehabis daya berusaha membantu penduduk Tanjung Piai, menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka, sebagai kuasa pendesak.

Katanya, perkara pertama yang dititik beratkan oleh Berjasa di Tanjung Piai adalah isu nelayan.

“Berjasa berkempen selama dua hari berturut-turut membela nasib nelayan. Kami fokuskan perkara itu kepada media. Dan akhirnya Menteri Besar Johor umumkan akan memberi wang tunai RM1,000 kepada nelayan.

“Begitu juga dengan isu feri. Dua bulan perkhidmatan feri ditutup. Ketika hari Berjasa berkempen, feri sepatutnya dibuka tetapi tiada tindakan. Kebetulan hari sama, kami terserempak dengan pemandu teksi yang tersadai di bandar yang ketika itu langsung tiada pelanggan.

“Kami suarakan lagi dua perkara berkenaan kepada media. Juga dapat perhatian kerajaan. Di situ kita boleh lihat bahawa PH gagal menangani isu berkenaan,” katanya ketika bual bicara Cakap Serupa Bikin TV Pertiwi, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Tok Badh mengakui sepanjang pertemuan dengan rakyat di Tanjung Piai, ramai di yang mengadu terlalu kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Contohnya janji-janji kerajaan yang tidak terlaksana. Mereka sangat kecewa. Tetapi sebenarnya di Tanjung Piai ini banyak lagi isu yang perlu kita lihat walaupun mereka ‘offer material’,” katanya.

Selain itu, Tok Badh menyifatkan PRK Tanjung Piai bukanlah pilihan raya biasa seperti sebelum ini, kerana pengundi masih percaya kepada BN, walaupun PH telah menawarkan perkara material.

“Sebab BN sudah lama memerintah di situ dan mereka berterima kasih kepada BN.

“Tapi apa yang buat saya terharu ialah sepanjang dua minggu berkempen tiada satu pun pengundi pun yang berkata tidak kepada agenda yang kami bawa iaitu penyatuan Melayu dan Islam,” katanya.

Walaupun Berjasa kalah di Tanjung Piai, Berjasa tetap menang berprinsip dan bermaruah, nekad akan meneruskan agenda mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan sejak PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.


Jumaat, 22 November 2019

PRK Tg Piai: Undi Melayu kepada PH masih rendah, turun 5%




KUALA LUMPUR: Sebuah badan penyelidikan mendapati undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai masih di tahap rendah dan tidak banyak berubah.

Menerusi dapatan Ilham Centre, undi Melayu kepada PH menurun sebanyak 5% daripada 28% yang diperolehi semasa PRU-14 kepada 23% pada PRK Tanjung Piai.

Berbanding dengan peningkatan 13% undi Melayu kepada Barisan Nasional, daripada 60% pada PRU-14 kepada 73% pada PRK Tanjung Piai.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata dapatan kajian melibatkan lebih 300 pengundi sebelum hari mengundi PRK Tanjung Piai mendapati faktor kemenangan BN ialah kegagalan PH menunaikan janji.

“Secara keseluruhan responden setuju kerajaan PH gagal menunaikan janji dan yang menariknya kedua-dua respondan Cina dan Melayu, jawapan mereka sama,” katanya pada Seminar Pasca PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya hari ini.

“Pihak kami menjangkakan kemarahan rakyat kepada PH akan memuncak apabila kerajaan melaksanakan subsidi minyak bersasar tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata kemenangan BN juga kerana kegagalan PH mengurus perang persepsi, di samping kekuatan calon BN.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.

Pada PRU-14, calon PKR, Dr Md Farid Md Rafik dari PPBM menang dengan majoriti 524 undi apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA (20,731 undi) dan calon PAS, Nordin Othman (2,962 undi).

Pada PRK 16 Nov lepas, Wee menang dengan majoriti 15,086 undi apabila memperoleh 25,466 undi, menewaskan calon PH, Karmaine Sardini dari PPBM (10,380 undi), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas) dan Ang Chuan Lock (Bebas).

Media kerajaan tak berkesan

Sementara itu, Yusri berkata kegagalan kerajaan menangani persepsi dengan baik antara faktor penolakan pengundi.

Katanya, kerajaan gagal menjawab isu berbangkit seperti kegagalan menunaikan janji manifesto dan kos sara hidup melalui media termasuk lidah rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia.

Antara janji manifesto yang paling memberi kesan adalah penghapusan tol dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya.

Walaupun harga sawit menunjukkan sedikit kenaikan, pengundi berpandangan ia masih di paras rendah, tambahnya.

“Kerajaan PH sekarang seolah-olah tiada mekanisme berkesan menangani apa-apa saja persepsi negatif yang dikeluarkan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas seminar.

“Jawapan kerajaan yang menggunakan media kerajaan, contohnya macam RTM, semua itu tidak cukup ‘power’ untuk menakluki serangan-serangan melalui media-media lain,” tambahnya.

Isnin, 18 November 2019

'Saya dah jangka, tapi...' - Tun M terkejut PH kalah majoriti besar di Tanjung Piai

Afiezy Azaman, Astro Awani
'Saya dah jangka, tapi...' - Tun M terkejut PH kalah majoriti besar di Tanjung Piai
Dr Mahathir tidak menjangkakan kekalahan dengan majoriti yang begitu besar iaitu sebanyak 15,086 undi kepada parti lawan. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui telah menjangkakan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Namun beliau tidak menjangkakan kekalahan dengan majoriti yang begitu besar iaitu sebanyak 15,086 undi kepada parti lawan.

“Saya ambil maklum keputusan PRK Tanjung Piai yang diadakan baru-baru ini. Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih daripada 2,000 undi, namun keputusan rasmi majoriti sebanyak 15,086 undi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
 
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata satu perbincangan secara terperinci, serius dan jujur di semua peringkat akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada PRK ini.

Beliau turut berterima kasih kepada mereka yang telah bekerja keras sepanjang pilihan raya kecil ini.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan yang pernah disandang selama dua penggal sebelum ini.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September
lalu.

Bukan Tun M, tapi Syed Saddiq punca PH kalah - Syaiful Irfan Anang

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani |
Bukan Tun M, tapi Syed Saddiq punca PH kalah - Syaiful Irfan Anang
Syaiful Irfan Anang berkata, punca sebenar kekalahan PH adalah disebabkan oleh kegagalan Syed Saddiq memanfaatkan sepenuhnya jentera pemuda PH yang dianggotai empat parti. - Foto fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipersalahkan susulan kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Syaiful Irfan Anang berkata, punca sebenar kekalahan PH adalah disebabkan oleh kegagalan Syed Saddiq memanfaatkan sepenuhnya jentera pemuda PH yang dianggotai empat parti.
 
Syaiful Irfan juga menolak keras kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan di Tanjung Piai memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap PH, terutamanya kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ketua Pemuda PH tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap kepada gabungan empat parti apabila gerak kerja dan mobalisasi bagi jentera pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah walhal pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti namun kepimpinan memperlihatkan kelemahan di dalam sistem tadbir urus dan berorganisasi.
 
"Teguran perlu diberikan kepada beliau kerana realitinya pada PRK sebelum ini dan kali ini PH mengalami kekalahan yang sangat mendukacitakan kerana rakyat Johor telah memilih untuk tidak mengundi PH juga kerana pelbagai isu yang terpalit dengan beliau yang masih tidak dapat diselesaikan dengan baik terutama isu yang melibatkan Istana Johor," tegasnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di akaun Facebook miliknya.

BACA: 'Bersedialah jadi kerajaan tempang, tumbang'


Justeru, beliau menggesa, Syed Saddiq untuk bermuhasabah selain segera menyelesaikan pelbagai konflik.

"Segera perkasakan akar umbi dan barisan pemuda PH supaya PH akan bertambah kukuh, maju dan berjaya di masa akan datang demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut menggesa kepimpinan parti harus berjiwa besar dan akur kepada kekalahan tersebut.

BACA: "Bukan salah Dr M seorang" - Khalid Samad ulas kekalahan PH di PRK Tanjung Piai
 
 

Ahad, 17 November 2019

Di Tg Piai pengundi Cina tinggalkan PH dua kali ganda dari kadar di kawasan Melayu

 
 
PRK TG PIAI | Pilihan raya kecil semalam adalah yang kesembilan dihadapi PH sejak mereka menguasai Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.

Daripada sembilan PRK yang berlangsung, Tanjung Piai menjadi kekalahan keempat gabungan parti kerajaan selepas di kerusi parlimen Cameron Highlands dan kerusi DUN Semenyih serta Rantau.

Dalam semua PRK lalu, sokongan pengundi Melayu kepada BN meningkat ketara manakala dalam kalangan pengundi Cina, kebanyakannya bersifat marginal.

Bagaimanapun di Tanjung Piai, PH berdepan dengan ombak undi protes yang besar daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan sebahagian besarnya membabitkan masyarakat Melayu dan Cina.

Hal itu dapat dilihat ketara di daerah mengundi majoriti (PDM) Cina apabila peralihan sokongan mereka kepada BN berlaku pada kadar lebih daripada dua kali ganda berbanding di PDM Melayu.

Keadaan itu menyaksikan PH kalah di semua PDM. Pada PRU tahun lalu PH memenangi 11 daripada 27 PDM yang ada.

Dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, PH masih mendapat undi mengatasi pembangkang di hampir semua PDM kawasan bandar. Malah di Rantau - yang menjadi kubu kuat BN - PH masih mampu mengekalkan kemenangan di sekurang-kurangnya satu PDM.

Di PDM yang memiliki lebih 80 peratus pengundi Melayu kadar peralihan sokongan kepada BN adalah di antara dua dan 12 peratus, manakala di kawasan sebegitu untuk pengundi Cina, kadarnya ialah antara 27 hingga 38 peratus.

Tiada jaminan undi buat PH

Misalnya di PDM Pangkalan Raja Pontian, sokongan kepada PH menurun dari 19.45 peratus kepada hanya 10.65 peratus dan ia adalah satu daripada situasi terburuk untuk gabungan parti kerajaan.

Sebaliknya di PDM Pekan Nanas Timur dan Pekan Nanas Selatan sokongan pengundi Cina kepada PH masing-masing menurun 38.01 peratus dan 27.48 peratus.

Sebelum ini di Pekan Nanas Timur 72.15 peratus daripada undi keseluruhan dihalakan kepada PH dan menjadikan ia salah satu PDM yang selamat buat parti kerajaan.

PDM Pekan Nanas Selatan pula, asalnya PH memperoleh sokongan 54.85 peratus. Dengan hanya 27.37 peratus kertas undi diberikan kepada PH, kadar itu adalah lebih rendah berbanding sokongan yang diterima BN pada PRU tahun lalu.

BN mendapat 39.62 peratus undi pada PRU tahun lalu dan semalam 63.37 peratus undi di PDM Pekan Nanas Selatan diberikan kepada gabungan pembangkang.

Peratusan pemilih yang keluar mengundi di PDM majoriti Cina juga lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan iaitu 74.5 peratus. Keadaan itu membayangkan ramai daripada pengundi tidak membuang undi, atau pengundi luar tidak pulang untuk mengundi.
Namun untuk rekod, dengan mengambil kira rasa tidak puas hati pengundi, jika pengundi luar pulang pun, ia tidak menjadi mereka akan memberikan sokongan kepada PH.

Satu-satunya situasi yang tidak mengaibkan PH ialah sokongan pengundi pos kepada mereka meningkat, daripada 20.09 peratus pada PRU ke-14 menjadi 36.32 peratus semalam.

Sejak awal PH memang selalu bermasalah untuk mengumpul sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di luar Lembah Kelang.

Bagaimanapun pertambahan perlahan - tetapi berterusan - yang diperolehi PH dan dibantu pula sokongan padu pengundi Cina membantu PH mengalahkan BN dalam PRU tahun lalu.

Ketika peratusan kejatuhan sokongan pengundi Melayu di Tanjung Piai dapat dijelaskan dengan kelebihan BN yang memang menguasai kawasan berkenaan, perubahan sikap pengundi Cina pula menarik untuk diperhatikan.

Kongres Melayu ada kesan

Runtuhnya sokongan pengundi Cina yang sebelum ini memberikan undi kepada PH membawa kepada kegagalan parti kerajaan mempertahankan kerusi Tanjung Piai.

Semalam calon MCA yang mewakili pembangkang, Dr Wee Jeck Seng, menang besar dan kembali menguasai kerusi yang pernah diwakilinya selama dua penggal dengan kelebihan 15,086 undi.

Beliau kalah kepada Allahyarjam Dr Md Farid Md Rafik dengan hanya 524 undi pada tahun lalu.

Dengan memperoleh 25,466 undi, Wee mendapat 65.6 peratus sokongan secara keseluruhan berbanding calon PH, Karmaine Sardini, yang hanya mengumpul 26.7 peratus undi.
Wakil Gerakan, Wendy Subramaniam, berada di tempat ketiga dengan 1,707 undi, diikuti Badhrulhisham Abd Aziz (Berjasa) yang mendapat 850 undi, dan calon bebas - Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar - masing-masing dengan 380 dan 32 undi.

Tidak dapat dipastikan bagaimana peranan PAS memberikan dukungan kepada BN memberi kesan signifikan kepada kemenangan calon BN itu kerana sentimen pengundi Melayu memang merosot sejak PRK sebelum ini.

Ia dikaitkan dengan kurangnya bantuan diberikan kepada segmen luar bandar, selain kebimbangan terhadap isu kaum dan agama.

Mengenai penuruhan sokongan pengundi Cina kepada PH, ia berkait dengan siri kontroversi membabitkan cara kerajaan menguruskan pelbagai isu seperti pembelajaran Jawi di sekolah vernakular serta kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Kongres Maruah Melayu.

Mahathir menyatakan rasa kecewa apabila beliau dilabel rasis kerana hadir di kongres berkenaan, namun nampaknya kekecewaan pengundi bukan Melayu lebih kepada ucapan yang diberikan pemimpin Melayu di perhimpunan berkenaan.
Perlu dinyatakan, program seumpama itu - Kongres Ekonomi Bumiputera - pernah dianjurkan pada Sept tahun lalu dan turut dihadiri Mahathir serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Dua kongres itu dibezakan dengan bagaimana naratifnya berlangsung. Kongres pada tahun lalu berkisar mengenai cara meningkatkan taraf hidup bumiputera. Di sebalik sedikit bantahan yang kedengaran, ia berakhir dengan baik.

PRK Port Dickson yang diadakan kira-kira sebulan selepas Kongres Ekonomi Bumiptera menunjukkan PH masih mendapat sokongan meluas daripada pengundi.

Penurunan sokongan pengundi Cina kepada PH dikesan sejak kempen PRK Tanjung Piai bermula. 
MCA yang sebelum ini bergelut untuk menarik orang ramai mendengar ceramahnya, kali ini menikmati sokongan lebih besar berbanding PH.

Ramai pengundi yang bercakap kepada Malaysiakini juga menyatakan kecenderungan mereka untuk memberikan undi protes kepada PH sebagai satu pengajaran buat kerajaan.
Untuk menangani rasa tidak puas hati itu, PH menghantar pemimpin kanan mereka dan merayu berkali-kali agar pengundi tidak memilih wakil rakyat mengikut emosi.

Pada masa sama mereka meningkatkan serangan kepada MCA dan pada ketika tertentu ia melangkaui batas politik perkauman.

PH kelihatan yakin dengan strategi mereka ketika MCA sulit untuk menangkisnya. Ia ditambah pula dengan kaji selidik PH yang menunjukkan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada mereka masih terkawal dan mendahului - secara keseluhan - sebanyak sembilan mata.

Di pihak PH pula, kebanyakan pengundi - termasuk pada hari terakhir kempen - masih belum membuat keputusan muktamad mengenai undi mereka.

Maksudnya, ketika hadir di ceramah PH, mereka masih berkira-kira untuk memberikan sokongan kepada kerajaan atau pembangkang.

"Memang tahun depan lepas saya ikut orang ramai (sokong PH) tapi kali ni saya kena lebih berhati-hati memilih.

"Jadi saya dengar ceramah kedua-dua pihak untuk buat perbandingan.

"Mahathir sangat anti-Cina. Banyak dasar yang dicadangkan menuju ke satu arah saja dan tak inklusif," kata seorang pengundi kepada Malaysiakini pada di hari terakhir kempen.

PRK Tg Piai: Menang berprinsip, kalah bermaruah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Teruskan agenda kembalikan dominasi kuasa politik Melayu

BANGI – Kegagalan merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai tidak melemahkan semangat parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk meneruskan agenda mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu.

Atas pegangan itu, Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Berjasa akan kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau menyifatkan, bilangan undi yang diperoleh Berjasa dalam pilihan raya kecil (PRK) semalam iaitu 850 sebagai ‘kemenangan’ berprinsip serta kekalahan bermaruah.

“Kita menghormati pilihan penduduk Tanjung Piai. Kalah menang adalah perkara biasa dalam pilihan raya.

“Objektif kami untuk menyampaikan mesej penting dalam agenda Berjasa iaitu penyatuan ummah. Kita mahu orang Melayu dan Islam bersatu padu. Berjasa tidak di sini jika UMNO pada awalnya meletakkan calon Melayu.

“Kami telah mengotakan janji kepada penduduk Tanjung Piai dan seluruh rakyat Malaysia untuk bertanding apabila BN meletakkan calon bukan Melayu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Secara keseluruhan, Prof Badhrulhisham berpuas hati dengan keputusan semalam, meskipun tidak berjaya memperoleh jumlah undi yang sama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Berjasa berdepan dengan dua calon gergasi iaitu kerajaan serta Barisan Nasional (BN) yang masih mempunyai sokongan kuat di Johor khususnya di Tanjung Piai.

“Insya-Allah pada masa akan datang kita mempunyai peluang dan kembali (bertanding),” katanya.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai ditawan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara, calon Gerakan, Wendy Subramaniam meraih 1,707 undi, Prof Badrulhisham mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.


BN menang isyarat rakyat muak dengan PH

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Petunjuk jelas masyarakat Cina menyokong calon dari kaum mereka


BANGI– Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai merupakan isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan pentadbiran sekarang.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa), Asral Widad Ahmad Asnawi berkata, kekalahan itu juga merupakan mesej besar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya lebih berhati-hati.

Bahkan, kata beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) melalui Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi juga menunjukkan masyarakat Cina akan tetap mengundi calon dari kaum mereka.

“Kekalahan itu juga mesej besar kepada penduduk Melayu supaya sedar sebelum negara kita diperkotak-katikkan oleh orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menyaksikam BN memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Calon BN, Jeck Seng menewaskan pencabar utama dari PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi serta empat pencabar lain.

Dalam perkembangan lain, meskipun tewas Asral Widad menyifatkan, Berjasa sudah menang dari sudut ‘visibility’ atau pembabitan dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa Berjasa akan kekal dengan prinsip untuk mengembalikan dominasi orang Islam ke Parlimen.

“Kami tetap akan meneruskan perjuangan serta memberi signal bahawa tempat-tempat majoriti orang Islam perlu hantar orang Melayu.

“MCA dan MIC pergilah hantar ke kawasan bukan Islam dan berlawanlah dengan DAP. Di tempat majoriti orang Islam, harus orang Islam yang dihantar menjadi wakil rakyat,” katanya.


Gagal laksana manifesto, pergolakan dalaman punca rakyat tolak PH

Oleh Fazleen Safina

 

Dianggap sama macam BN gagal dengar denyut nadi rakyat

BANGI – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan satu amaran supaya menilai segera beberapa perkara yang dilihat sebagai kritikal.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, masalah pengangguran antara yang perlu diambil perhatian kerana dijangka 50,000 orang berdepan masalah berkenaan menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, apa yang mengejutkan adalah kira-kira 30,000 daripada 50,000 penganggur adalah dalam kalangan graduan.

“Selain itu, dari segi pergelutan ekonomi juga kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian secara komprehensif.

“Mereka harus memastikan bahawa pengagihan ekonomi sama rata di antara semua kaum mengikut Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Begitu juga dengan isu-isu semasa seperti masyarakat Melayu dan integriti nasional. Perkara seperti ini yang membawa impak kepada PRK di kalangan pengundi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

PRK Tanjung Piai semalam memihak kepada Barisan Nasional (BN) setelah memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menewaskan pencabar terdekat dari PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi serta empat pencabar lain.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, konflik dalaman yang berlaku dalam parti komponen PH juga menjadi faktor mengapa rakyat menolak mereka pada pilihan raya, semalam.

“Apa yang rakyat nampak sekarang ini adalah tiada perbezaan antara kerajaan yang dipimpin BN dan juga PH.

“Isu-isu kontroversi seperti ahli Parlimen yang berucap dalam masjid telah dimurkai oleh Sultan Johor dan ada juga ahli Parlimen daripada DAP yang menggesa Perdana Menteri berundur.

“Jadi, kalau kita perhatikan pun, mereka tidak bersungguh-sungguh untuk menggerakkan jentera dalam pilihan raya,” katanya.

Pada masa sama, Dr Syed Agil berkata, walaupun pentadbiran kerajaan PH masih baru, tetapi manifesto pilihan raya harus dilaksanakan secara efisien dan bijak tanpa kompromi.

Beliau berkata, manifesto yang tidak dilunaskan sehingga sekarang menyebabkan rakyat marah sekali gus menolak PH.

Katanya lagi, setiap parti politik harus memain peranan mendengar rintihan rakyat dengan cara memenuhi manifesto mereka.

“Rakyat Malaysia sekarang jenis yang bersuara, berkebolehan memimpin serta membuat keputusan.

“Kita dapati kemenangan diperoleh BN pada PRK kali ini adalah datang daripada rakyat yang tidak berpuas hati terhadap apa yang dilaksanakan PH, yang juga tidak memenuhi apa yang mereka mahukan,” katanya.


Sabtu, 16 November 2019

PRK Tg Piai: SPR jangka 70% keluar mengundi, keputusan 10 malam

Pengundi bagi PRK Tanjung Piai menunggu giliran untuk membuang 
undi di sebuah pusat pembuangan undi pagi ini.
 
PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini dengan keputusan rasmi pengundian dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam.

SPR menugaskan seramai 1,019 orang petugas untuk membantu melancarkan proses pengundian kali ini, manakala polis pula menempatkan 1,341 pegawai dan anggotanya untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.

Pusat penjumlahan undi rasmi yang ditetapkan bagi PRK Tanjung Piai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baru bagi kawasan Parlimen itu.

Seramai 52,471 pengundi akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baru hari ini, selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakil Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Badhrulhisham Abdul Aziz, serta dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK berkenaan merupakan pilihan raya kesembilan sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lepas.

Daripada keseluruhan pusat mengundi yang dibuka, sebanyak 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus, SK Tanjong Ayer Hitam, SK Parit Haji Adnan, SK Melayu Raya, SK Kampong Sawah, SK Seri Bunian, SK Pengkalan Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nanas, SK Pekan Nanas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yung Ming 1 dan 2.

Sebanyak 16 lagi adalah di DUN Kukup merangkumi SK Jeram Batu, SJKC Bin Chong, SJKC Cheow Min, SK Rimba Terjun, SK Sungai Bunyi, SK Rambah, SK Parit Rambai, SK Belokok, SK Telok Kerang, SK Penerok, SK Sungai Boh dan SJKC Pei Chao, SMK Sri Kukup, SK Sungai Durian, SK Serkat dan SK Andek Mori.

Calon PH Karmaine mengundi di SK Telok Kerang dan Wee di SJKC Yu Ming 1 & 2, manakala empat lagi calon lain bukan merupakan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Selasa lepas, 91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hari ini mendung dengan suhu antara 23 dan 27 darjah Celcius pada sebelah pagi, manakala ribut petir pada sebelah petang dengan suhu antara 25 dan 28 darjah Celcius.

Kehadiran Najib beri bayangan berita gembira buat BN di Tg Piai?

Bekas perdana menteri Najib Razak hadir memberi sokongan 
kepada calon BN di SMK Datuk Mohd Yunos Sulaiman pada hari 
mengundi PRK Tanjung Piai hari ini.
 
PEKAN NANAS: Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang sedang berjalan seolah-olah membayangkan berita gembira buat calon Barisan Nasional (BN) pada saat pengiraan undi malam ini.

Najib yang diiringi pengerusi BN Johor Hasni Mohamad turut disertai penyokong parti itu ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Yunos Sulaiman di sini.

Mereka melaungkan slogan “Bosku”, “Tolak PH” dan juga bertakbir.

Najib meluangkan masa lebih kurang 30 minit bersama penyokong BN dalam jarak lebih 100 meter dari pusat mengundi tersebut.

Semalam Najib berucap pada satu ceramah di Penerok bersama-sama timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dalam kempen terakhir mereka bagi membantu kemenangan calon BN, Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, pemimpin utama parti komponen PH tidak berada di Tanjung Piai untuk menyokong calon gabungan kerajaan, Karmaine Sardiri daripada PPBM.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim misalnya dilaporkan berada di Kedah, manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berada di Swedan.

Survei yang dijalankan dalam kalangan pengundi oleh beberapa pihak sebelum ini mendapati kemungkinan besar berlakunya peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRK Tanjung Piai.

Tinjauan melibatkan beberapa ratus pengundi pelbagai kaum, jantina, usia dan lokasi mengundi itu menunjukkan kemenangan selesa buat calon BN.

Selain itu, tinjauan juga mendapati perkembangan itu merupakan tanda sokongan akar umbi yang kuat kepada Umno di negeri Johor, walaupun ia tewas pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Ia turut merumuskan bahawa PH memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya umum sebelum ini berikutan kehadiran calon PAS yang memaksa pertandingan tiga penjuru antara tiga parti politik terbesar negara itu.

PAS kini bekerjasama dengan Umno dalam satu gabungan politik yang dinamakan Muafakat Nasional dalam usaha berperanan sebagai pakatan pembangkang untuk mencabar kerajaan PH.

Pemimpin PAS, termasuk presidennya Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, dan setiausaha agung parti itu Takiyuddin Hassan aktif berkempen menyokong calon BN sepanjang PRK ini.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Md Farid Md Rafik (PH-PPBM) memperoleh 39.7% undi (21,255), Wee (BN-MCA) 38.7% undi (20,731) dan Nordin Othman (PAS) 5.5% undi (2,962).

Pengundi berketurunan Melayu mewakili 56.8% dripada jumlah pengundi, Cina 41.64% dan India 1.01%.

Selain calon PH dan BN, PRK Tanjung Piai turut menyaksikan penyertaan calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menjangka 70% pengundi keluar mengundi dan keputusan pilihan raya diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam hari ini.

43 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari


LANGSUNG | Proses pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai sedang dijalankan.
BN yang bangkit dan menubuhkan Muafakat Nasional cuba merampas kerusi dari Pakatan Harapan yang memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis pada 2018.

Terdapat 52,698 pengundi di kawasan parlimen separa bandar ini, dengan 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan kira-kira 1 peratus adalah kaum lain.

PRK ini akan menyaksikan pertembungan enam penjuru. BN meletakkan bekas penyandang parlimen itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng dari MCA.

Jeck Seng dikalahkan oleh Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, PH mempertaruhkan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini. Gerakan mecalonkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam, dan Berjasa diwakili presidennya, Badhrulhisham Abdul Aziz. Turut bertanding adalah calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Malaysiakini membawakan laporan langsung:



12.05 tengah hari: SPR mengumumkan peratus keluar mengundi setakat pukul 12 tengah hari tadi adalah 43 peratus. Jumlah ini lebih rendah berbanding PRK Cameron Highlands dan Rantau pada awal ini, tetapi lebih tinggi berbanding PRK Sandakan.

Hujan dijangka pada sebelah petang yang mungkin menghalang sesetengah pengundi untuk keluar menunaikan kewajipan mereka.



12 tengah hari: Serkat: Menteri Pertanian Salahuddin Ayub, yang juga merupakan anak jati Kampung Serkat, lewat membuang undi hari ini.

Apabila ditemui di sebuah kedai di luar sekolah, Salahuddin memberitahu media bahawa dia berasa yakin dengan peluang PH di Serkat dan Tanjung Piai.

Jelas Salahuddin, rata-rata penduduk yang menemuinya memberi sambutan menggalakkan berbanding sebelum PRU tahun lalu.

"Ada yang memeluk saya, dan mencium saya (di pipi), ada yang memegang tangan saya, jadi anda pasti dapat melihat perbezaan di sana," katanya.

Serkat juga merupakan kampung halaman Allahyarham Farid.

Sementara itu, Salahuddin juga menafikan mempunyai kaitan dengan sepanduk yang memaparkan wajahnya dengan tertera ayat 'nelayan jangan jadi pemalas'.

"Saya tidak pernah berkata demikian. Pada masa saya sebagai menteri saya hanya memanggil nelayan dan petani sebagai wira negara," katanya.



11.50 pagi: SJKC Yu Ming, Pekan Nanas: Keadaan di luar pusat mengundi bertambah riuh apabila bekas perdana menteri Najib Razak tiba,

Sambil melaungkan slogan “malu apa bossku”, penyokong BN berarak di belakang Najib ke kedai makan yang berhampiran.

Namun, penyokong PH turut melaungkan perkataan seperti “pencuri” bagi menyambut kedatangan ahli parlimen Pekan itu.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Apabila ditanya sama ada masih berkempen hari ini, Najib menafikan perkara tanggapan itu.
“Mana boleh kempen, saya datang mereka sambut je,” katanya.

Najib singgah selama 15 minit dan penyokong BN turut bersurai selepas itu.


11.35 pagi - SJKC Yu Ming, Pekan Nanas: Kelompok penyokong parti dari BN dan PH masih tidak bersurai setelah tiga jam bersorak dan berkempen di luar tempat pengundi.

Penyokong BN juga enggan mendengar nasihat SPR supaya berada dalam satu kelompok dan sebaliknya terus menjerit serta menyanyi lagu "Terima Kasih Abang Polis".

“Saya dah sampaikan mesej bahawa jangan mengganggu pengundi di sini tapi mereka nak berada di sini kerana ada tempat teduh.

"Memang ini bukan sesuatu yang mudah,” kata pegawai SPR Norlinah Jamman yang berusaha mengawal keadaan.

Pihak polis akhirnya menghantar pasukan FRU untuk mengawal keadaan.



11.30 pagi: SPR mengumumkan peratus keluar mengundi setakat pukul 11 pagi tadi adalah 30 peratus.


11.00 pagi: SMK Dato Yunos, Pekan Nanas, Pontian - Megulas mengenai tindakan penyokong parti politik meneriakkan slogan dan berkempen, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata pihaknya akan menasihati peraih undi dan penyokong agar tidak melebihi had 50 meter yang ditetapkan.

“Kalau di luar 50 meter, kalau dalam keadaan terkawal, kita ambil pendekatan lebih lembut, menasihati mereka.

“Dinamik perlakuan peraih undi kita tidak boleh perincikan, kalau ada perbuatan di kawasan kabur dan apabila di luar kawalan kita akan hentikan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.


Jelas Azhar, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memantau dan jika penyokong dilihat melakukan aktiviti meraih undi secara aktif, pihaknya akan mengambil tindakan.


10.45 pagi: Teluk Kerang: Kesesakan lalu lintas hampir 1km dari Rembah menuju Teluk Kerang.
Kesesakan itu susulan orang ramai yang turun di SK Teluk Kerang yang terletak di pinggir jalan utama.
Sementara itu, sehelai sepanduk berwarna jingga dengan imej Menteri Pertanian Salahuddin Ayub digantung di pinggir jalan dari Teluk Kerang menuju ke Kukup.

Sepanduk itu turut disertakan dengan ayat: "Nelayan jangan menjadi pemalas".

Tiada sebarang logo parti politik dapat dilihat pada sepanduk itu dan tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab memasangnya.



10.30 pagi: SJKC Yu Ming Pekan Nanas: Penyokong parti politik terus bersorak dan berkempen di luar pusat mengundi.

Bagi calon PH Karmaine Sardini, tindakan berkenaan adalah tidak wajar kerana menurutnya keadaan perlu kekal aman dan tenteram pada hari mengundi.

Apabila dimaklumkan bahawa penyokong PH turut terlibat, Karmaine percaya ia mungkn disebabkan provokasi oleh pihak yang lain.

Sementara itu, DAP Adun Pekan Nanas Yeo Tung Seong berkata, beliau telah menghantar beberapa ahli DAP untuk membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas atas insiden yang berlaku di luar tempat mengundi.

“Jangan menarik undi dengan cara yang tidak betul. Kami sudah maklumkan kepada ahli supaya kawal diri,” tambahnya.


9.54 pagi: SK Telok Kerang, Pontian: Ketika penyokong BN-PAS dan PH saling berlawan menjeritkan slogan, penyokong Berjasa mengambil pendekatan berbeza.

Menurut salah seorang penyokong Berjasa yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani, sekumpulan lima ke enam ahli Berjasa diletakkan di setiap 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi berganti-ganti membaca dua juzuk al-Quran.

Penyokong BN dan PAS dapat didengar melaungkan “Calon No 2”, selain “Arwah Arwah” manakala PH pula melaungkan slogan “Calon No 4".


9.00 pagi: SJK C Yu Ming, Pekan Nanas: Calon Gerakan, Wendy Subramaniam membidas penyokong BN yang didakwa berkempen di pusat pengundian.

"Saya amat sedih bahawa (walaupun pernah jadi) kerajaan sejak 60 tahun yang lalu masih berkempen sehingga sekarang.

"Setiap tempat mengundi saya pergi, mereka juga berkelakuan seperti ini, menunjukkan logo parti mereka dan tanda nombor 2.

"Jika calon anda begitu terkenal di sini, kenapa anda masih menggunakan taktik sedemikian pada masa ini," katanya.
Sementara itu, penyokong BN, PAS dan PH masing-masing menerakkan slogan.

Penyokong BN menjerit "undi BN", sementera penyokong PH menjerit "calon nombor empat".

Ahli Parlimen PKR Pasir Guding Hassan Karim juga berada di sini. Menurutnya, tidak ada masalah untuk berkempen selagi jarak lebih daripada 50 meter dari garis kuning.


8.20 pagi: SK Serkat: Calon bebas Farah Aryani Abd Ghaffar, yang bukan pengundi Tanjung Piai, turun untuk menyambut pengundi.

Dia memberitahu Malaysiakini dia "95 peratus" yakin. Farah juga optimis mendapat sokongan pemandu teksi tempatan serta peniaga.

Faridah dilihat mewakili Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), dengan kempennya cuba mengetengahkan isu yang dihadapi golongan pemandu teksi.


8.18 pagi - SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas: Calon MCA Wee Jeck Seng, 55, selesai mengundi di saluran 2, SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas.

Bagi Jeck Seng, yang bangun seawal 5 pagi tadi, walaupun pilihan raya ini bukan kali pertama dia bertanding, ia tetap cabaran besar buatnya.

Isterinya Lim Joo Hon, 45 juga selesai mengundi pada pukul 8.15 pagi di tempat mengundi yang sama.


8.05 pagi - SK Serkat: Penyokong Pakatan Harapan Irwan Iskandar adalah orang pertama yang mengundi di aliran kedua di Serkat.

Irwan, 52 menyatakan keyakinan PH boleh menang.

Serkat adalah kampung asal Allahyarham Farid.

Dalam PRU tahun lalu, PH meraih 366 undi di sini, sementara BN 844, dan PAS 93.

7.50 pagi: SK Telok Kerang, Pontian Johor: Calon PH Karmaine Sardini tiba di pusat mengundi.
Karmaine dilihat menyapa pengundi yang sudah beratur seawal 7.30 pagi tadi.

Setakat ini cuaca dilaporkan baik namun mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia semalam cuaca dijangka hujan lebat pada sebelah petang.

Salah seorang pengundi Aminah Kasdi, 89, yang berkerusi roda serta ditemani cucunya antara yang terawal hadir bagi membuang undi di sekolah ini.

Pada pukul 8.04 minit, Karmaine selesai membuang undi. Ketika ditemui pemberita, Karmaine berkata dia gembira dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan calon.

Gerakan kesal peraih undi BN, PH berkempen hari mengundi

MALAYSIAKINI
 
 

PRK TG PIAI | Kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai berakhir tepat jam 12 tengah malam tadi, namun pagi ini kelihatan peraih undi begitu asyik memancing undi di pusat-pusat pengundian.

Baik peraih undi dari Pakatan Harapan (PH) mahu pun BN, masing-masing berdiri di bahu jalan untuk memancing undi pengundi di SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas.

Suasana menjadi hangat apabila kelihatan peraih undi BN yang ditempatkan lebih dekat dengan pusat pengundian melaungkan nama dan nombor calon mereka.

"Nombor dua" "undi BN" dan "Pakatan hancing"," kata mereka dalam bahasa Cina.

Peraih undi PH pula kelihatan membalas laungan dengan "penjara" dan "Sungai Buloh", dipercayai merujuk kepada kes perbicaraan membabitkan bekas pengerusi BN, Najib Razak yang sedang berlangsung di mahkamah.

Selain itu, perkara yang sama dilakukan peraih undi BN di SK Serkat, Pontian dan SK Telok Kerang, Telok Kerang. Namun berbeza dengan kempen peraih undi dari PH yang kelihatan agak perlahan.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam ketika ditemui pemberita di luar perkarangan SJK (C) Yu Ming sekitar jam 9 pagi berkata beliau kecewa dengan apa yang berlaku dan menyalahkan BN kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pada masa itu, penyokong PH berkumpul di luar sekolah berkenaan dan memulakan laungan.
"Setiap pusat pengundian yang saya kunjungi sama. Mereka melaungkan 'undi nombor dua'. Suruhanjaya Pilihan Raya cuba menyuraikan mereka tetapi mereka akan kembali 15 minit kemudian," kata Wendy.

Malah, Wendy turut mendakwa kehadiran peraih undi BN di SMK Yunos hanya berada dalam lingkungan 50 meter dari pusat pengundian.

Mengulas lanjut, Wendy berkata parti bertanding sepatutnya mematuhi peraturan sedia ada.
"Apabila saya memasuki pusat-pusat pengundian, saya hanya berjabat tangan, saya langsung tidak memperkenalkan diri saya.

"Jika calon kamu cukup popular, kenapa berkempen pada saat-saat akhir," soalnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau yang mengiringi Wendy, berkata partinya menghormati undang-undang dan tidak akan terlibat dalam amalan sedemikian.

Bagaimanapun, Dominic berkata beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas PRK itu.


Jumaat, 15 November 2019

PRK Tg Piai: Pihak terdesak sebar propaganda, fitnah PAS

HARAKAHDAILY 



TANJUNG PIAI: Pihak tertentu ternyata sudah ketandusan modal untuk menyakinkan rakyat supaya terus memberi sokongan dan undi kepada mereka pada PRK P.165 Tanjung Piai apabila hanya membangkitkan sensitiviti kaum dan menyebar fitnah.

Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Dr Mahfodz berkata, pihak tersebut ternyata kepanasan dan berkempen secara tidak bertanggungjawab serta dilihat terdesak hinggakan PAS yang tidak bertanding tetapi menjadi sasaran fitnah.
“Untuk rekod, sekurang-kurangnya tiga siri fitnah kami terima sepanjang kempen berlangsung. Bermula dengan satu keratan akhbar Berita Harian 9 November; kononnya suara pimpinan Pemuda PAS tidak selesa dengan BN.

“Konon ada pertikaian mengenai Hudud dan RUU355. Suka dipertegaskan, ini bukan suara Pemuda PAS. Begitu juga tular menyatakan konvoi Pemuda PAS dari Pahang kononnya kesal kerja sia-sia bersama MCA dan BN.

“Kami telah siasat dan disahkan oleh Dewan Pemuda PAS Pahang tiada konvoi didakwa itu,” terang beliau yang turut menafikan tularan mengenai Pemuda PAS Kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Piai tidak menyokong calon PH.

Sebaliknya tegas Nawfal, para Pemuda PAS dari seluruh kawasan negeri Johor termasuk dari negeri-negeri lain datang membantu gerak kerja kempen calon MCA-BN secara bersepadu untuk memenangkan Dato’ Dr Wee Jeck Seng.

Hal tersebut juga menurutnya, dibuktikan dengan kehadiran petugas Pemuda PAS di program-program kempen BN yang sekali gus menunjukkan kerjasama Muafakat Nasional utuh hingga ada pihak merasa begitu tergugat lalu berkempen secara propaganda.

Katanya, beliau percaya suara anak muda bakal menjadi penentu penting pada PRK ini yang sekali gus menyebabkan golongan ini menjadi sasaran kempen tidak beretika pihak terbabit. – HARAKAHDAILY 

Papagomo: DAP kitar semula video lama, terdesak raih undi Cina, India

MALAYSIAKINI
 
 

PRK TG PIAI | Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata video rakaman beliau mengenai hak mengundi kaum Cina dan India dikitar semula oleh DAP.

Lebih dikenali sebagai Papagomo, beliau juga mendakwa DAP terdesak untuk meraih undi kaum Cina dan india serta takut mengeluarkan rakaman penuh video tersebut.

"Video saya yang tular telah diambil tanpa melihat rakaman penuh yang asal. Video yang direkodkan pada Oktober 2018 ini sebelum ini juga telah diviralkan pada November 2018.

"Video lapuk dikitar semula hari ini oleh DAP kerana terdesak mahu mendapatkan sokongan undi kaum Cina dan India," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, video tersebut dirakam sendiri olehnya bagi mengulas kenyataan Senator DAP, Nga Hock Cheh yang didakwanya membangkitkan isu status agama pada MyKad.

"DAP takut untuk mengeluarkan rakaman penuh video tersebut kerana dalam kenyataan saya tersebut hanya ditujukan kepada DAP.

"Seorang senator Cina DAP telah membangkitkan isu di Dewan Negara yang mana mahu perkataan Islam dibuang dari kad pengenalan orang Islam.

"Ini isu sensitif yang menyebabkan saya amat marah kepada DAP dan isu ini membuktikan bahawa DAP tidak menghormati perlembagaan yang ada," dakwanya.




Untuk rekod, pada April tahun ini, Nga dilaporkan menyebut bahawa status agama seseorang harus digugurkan daripada MyKad.

Namun, Nga menjelaskan kenyataan beliau disalah petik dan disalah fahami hingga menimbulkan kritikan pelbagai pihak.

Nga memberitahu, beliau tidak pernah menyebut status agama seseorang harus digugurkan daripada MyKad sebaliknya menekankan mengenai pentingnya identiti nasional.

Menurut hansard ucapannya di Dewan Negara pada 24 April, senator itu berkata:

"Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. He sees himself as a Malaysian. Isu perkauman tidak akan timbul”.

'Musuh saya Melayu, Cina, India dari DAP'

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial menunjukkan Muhammad Azri berkata kaum Cina dan India harus dilucutkan hak mengundi sekiranya Umno-PAS berjaya menubuhkan kerajaan Bumiputera.

"Kalau dapat dua pertiga majoriti, saya nak tarik hak mengundi itu. Kaum India dan Cina tidak dibenarkan untuk mengundi di Malaysia," katanya dalam klip selama 30 saat itu.

Bagaimanapun, Papagomo menjelaskan kenyataan beliau ditujukan kepada pengundi India dan Cina daripada DAP sahaja.

"Hampir semua orang Melayu kenal saya. Saya ultra Melayu dan anti DAP. Musuh Saya DAP, baik Cina, Melayu, India DAP semua adalah musuh.

"Cina MCA bukan Cina DAP, Cina MCA sejak sekian lama bersetuju dengan perlembagaan negara, tidak seperti DAP yang menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan," dakwanya.

Khamis, 14 November 2019

Gerakan bertanding untuk serang MCA, kata Chong

 
 

PRK TG PIAI | Kurang 48 jam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon mendakwa Gerakan bertanding di kerusi itu bagi memecahkan undi Cina dan melemahkan MCA.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pekan Nanas pagi ini, Chong mempersoalkan niat Gerakan bertanding sama ada ia bertujuan untuk mensabotaj parti berkenaan.

Menurut Chong, Gerakan menyerang MCA sejak awal kempen dan tidak langsung menyentuh mengenai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga mendakwa empat lagi calon turut memberi tumpuan untuk menyerang calon MCA, Wee Jeck Seng.

"Tidak kira mereka Berjasa, PH atau Gerakan, mereka semua serang Wee sahaja. Kemenangan kita dalam bahaya.

"Mengapa tentang MCA sahaja? Adalah jelas Gerakan cuba memecahkan undi Cina dan mengurangkan sokongan kepada MCA, supaya Bersatu boleh menang.

"Saya rasa, Gerakan lebih seperti penyerang yang menyerang MCA dari sebelah, dan bukannya untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Apabila mereka tidak menyatakan pendapat terhadap pihak lawan yang begitu besar, ini sangat mencurigakan," kata Chong.

Pembangkang yang autonomi
 
Menurut Chong, sambutan orang ramai terhadap Wee pada minggu pertama kempen itu sangat menggalakkan.

Bagaimanapun, masuk minggu kedua, sambutan menjadi kurang memberansangkan disebabkan pelbagai serangan daripada PH dan Gerakan.

"Jika kamu mahu memberi pengajaran kepada PH, kamu perlu beri tumpuan kepada undi untuk MCA. Jika undi diberikan kepada Gerakan dan Berjasa, maka ia tidak akan memberikan kesan,"katanya.

Ketika dihubungi, Pengerusi Gerakan Dominic Lau berkata beliau percaya Chong tertekan dengan Gerakan.

Katanya sekiranya bukan Gerakan mengumumkan terlebih dahulu bertanding di Tanjung Piai, MCA mungkin tidak mempunyai peluang untuk bertanding di kerusinya.

Tambah Lau selagi MCA masih bersama BN, parti itu tidak akan mempunyai kuasa dan tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana perlu tunduk kepada 'abang besar' mereka iaitu Umno.

Sehubungan itu Lau menggesa pengundi Tanjung Piai mengundi pembangkang yang mempunyai 'autonomi'.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong, menerusi Facebook beliau mempersoalkan sama ada MCA berani untuk mengatakan Berjasa telah memecahkan undi Melayu atau sebaliknya.

PRK Tanjung Piai yang hari pengundiannya ditetapkan Sabtu ini akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Kerusi itu disokongkan berikutan kematian penyandanganya, Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.


Tinjauan: BN dijangka menang selesa, undi Cina beralih

MALAYSIAKINI
 
 


Tinjauan sebuah badan tinjauan terkenal merumuskan BN akan memang selesa dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu ini.

Perkara itu, antaranya, disebabkan oleh peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN, menurut panel penyelidik Ilham Centre.

“Dalam kajian lapangan ini, kami mengesan akan berlaku peralihan undi Cina ke BN disebabkan beberapa faktor-faktor seperti kegagalan prestasi kerajaan menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi kerajaan persekutuan yang kurang memuaskan (59 peratus), prestasi kerajaan negeri yang kurang memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding zaman BN (60 peratus),” menurut laporan itu.

Panel penyelidik itu disertai oleh Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim, Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (bawah).

Kajian secara tatap muka itu diadakan pada 9 sehingga 11 November lalu dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.
Ia melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi berdaftar Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Kerusi parlimen itu mempunyai 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus pengundi Cina dan satu peratus lain-lain.

Dalam pilihan raya umum lalu, sebanyak 74 peratus pengundi Cina menyokong PH manakala 26 peratus menyokong BN.

Jumlah sokongan pengundi Cina kepada PH di Tanjung Piai itu lebih kecil berbanding di peringkat pusat dengan 94 peratus dan peringkat negeri (89 peratus).

“Ini membuktikan bahawa MCA mempunyai pendukung dan akar umbi yang kuat di Tanjung Piai,” menurut laporan itu.
Wee Jeck Seng ketika bertemu pengundi 
Daripada aspek calon pula, responden melihat calon BN Wee Jeck Seng lebih unggul berbanding calon PH Karmaine Sardini.

Seramai 67 peratus responden bersetuju bahawa Wee mempunyai banyak jasa semasa menjadi wakil rakyat dan diterima baik penduduk.

Seramai 75 peratus responden yakin dengan beliau manakala hanya 24 peratus yakin pada Karmaine.
“Cuma kekurangan Wee Jeck Seng ialah parti BN yang diwakilinya adalah pembangkang,
kekurangan sumber dan kelihatannya jentera Umno tidak sepenuhnya membantu kempen beliau namun ia langsung tidak menjejaskan kredibiliti Wee Jeck Seng,” menurut laporan itu.

“Meskipun Karmaine Sardini adalah calon yang mewakili parti pemerintah kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, mempunyai latar belakang seorang imam dan berkecimpung dalam bidang arkitektur, ternyata calon PH ini gagal ditonjolkan oleh jentera PH dan dilihat sebagai sangat low profile dan tidak menonjol sepertimana Wee Jeck Seng.”

Berikut kesimpulan-kesimpulan lain tinjauan itu:
  • Pola pengundian dalam pilihan raya umum lalu, yang menumbangkang BN, rapuh dan tidak kekal kepada PH. Pencapaian Umno Johor berada pada tahap cemerlang tetapi parti itu dihukum kerana imej bekas perdana menteri Najib Razak.
  • Undi Melayu tidak berganjak manakala undi PAS akan beralih pada BN. Walaupun terdapat elemen protes dengan pemilihan calon MCA di peringkat awal, ia berjaya diredakan. Tinjauan mendapati 94 peratus responden Melayu berkata akan mengundi BN dalam pilihan raya kecil itu.
  • Walaupun kedua-dua jentera BN dan PH tersusun, PH gagal bekerja dalam satu “ketumbukan yang bersepadu”. Media sosial pula didominasi BN.

AG minta perjelas isu permit kempen rumah ke rumah

siti hafidah

 

Tanggungjawab mengundi hak asasi dalam Perlembagaan

BANGI – Kontroversi berhubung permit polis bagi tujuan kempen dari rumah ke rumah dan secara bergerak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai perlu dijelaskan secara terperinci, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Terdahulu, polis telah menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Ia susulan pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu dapat permit polis, Selasa lalu.

Difahamkan, peraturan itu kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mengulas lanjut, Thommy Thomas berkata, peruntukan dibuat pihak polis terhadap keperluan permit yang dinyatakan mengikut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya adalah tidak jelas.

“Sejarah membuktikan bahawa kaedah untuk meraih pengundi ini adalah paling popular digunakan calon daripada semua parti politik dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit sedemikian, sejak 1955,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tommy berkata, tanggungjawab mengundi adalah hak asasi yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Semenjak tahun 1955, 14 Pilihan Raya Umum (PRU), selain ratusan pilihan raya kecil telah diadakan bagi membolehkan para pengundi memilih ahli Parlimen dan wakil rakyat mereka.

“Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya ini adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.


Rabu, 13 November 2019

TERKINI : Polis Terima 34 Laporan “Tidak Ada Eksiden Pergaduhan” di Tanjung Piai – Ketua Polis Johor

Noor Asrekuzairey Mat Salim
 
 maxresdefault-259




PONTIAN – Permit kempen bergerak dengan kenderaan atau berjalan kaki rumah ke rumah diwajibkan bagi mengelak pertembungan antara parti bertanding.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, perbincangan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan permit berkempen cara itu diperuntukkan di bawah Undang-Undang Pilihan Raya Seksyen 24 B Akta Pilihan Raya 1954

Katanya, apa juga bentuk kempen dijalankan mesti mendapatkan permit yang dikeluarkan ketua polis daerah yang bertujuan memudahcara pemantauan bagi memastikan keselamatan terjamin.

PRK Tanjung Piai: Berilah sedikit ruang kepada jentera kempen semua pihak - Muhyiddin

Firdaus Azil, Astro Awani
PRK Tanjung Piai: Berilah sedikit ruang kepada jentera kempen semua pihak - Muhyiddin
Muhyiddin berkata pertimbangan itu perlu memandangkan semua jentera, baik Pakatan Harapan, Barisan Nasional, mahupun calon lain, perlu berjumpa masyarakat seramai mungkin untuk meraih undi. - Gambar fail
 
 
PONTIAN: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akur peruntukan undang-undang sedia ada mewajibkan apa jua bentuk kempen perlu permit, namun beliau meminta agar diberi kelonggaran sedikit sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata, pertimbangan itu perlu memandangkan semua jentera, baik Pakatan Harapan, Barisan Nasional, mahupun calon lain, perlu berjumpa masyarakat seramai mungkin untuk meraih undi.
 
Katanya lagi, beliau sudah menguruskan pilihan raya baik di peringkat negeri mahupun pilihan raya umum bertahun-tahun lamanya, dan ia tidak perlu sampai ke tahap memakai sistem perundangan yang terlalu ketat.

“Saya dah uruskan berpuluh-puluh PRK, saya lihat setiap PRK itu tidak ada syarat terlalu ketat. Kerana waktu berkempen sudah bermula dan masing-masing sudah berkempen demi menarik sokongan pengundi.
 
“Justeru itu kita harap polis walaupun di bawah bidang tugas saya (selaku Menteri Dalam Negeri), tapi yang berkuasa di peringkat daerah ini akan lebih bertimbang rasa, asalkan tidak timbul pergaduhan,” katanya kepada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini PH sudah mengenal pasti sejumlah pengundi atas pagar yang pada kiraannya menjangkau setinggi 12 peratus dari jumlah pengundi di Tanjung Piai.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, jenteranya akan cuba berjumpa dan meyakini mereka bagi memastikan kemenangan ke atas Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini. 
 
 

Ahad, 10 November 2019

Polis terima 24 aduan berkait PRK Tg Piai

Bernama
Ketua Polis Johor Kamarudin Md Din berkata, setakat ini hanya 
tiga kertas siasatan dibuka ke atas 24 aduan yang diterima. 
(Gambar Bernama)
 
JOHOR BAHRU: Polis setakat ini menerima 24 laporan berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din bagaimanapun berkata, sehingga kini hanya tiga yang dibuka kertas siasatan.

Beliau berkata, antara kes yang dibuka kertas siasatan, termasuk kes bendera parti yang dilaporkan dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak, katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Johor di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua kes daripadanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam perkembangan sama, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya menjangkakan kempen pilihan raya menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Kita harapkan proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit daripada pihak polis supaya kerja-kerja pemantauan mudah dilakukan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut berkata, polis menyediakan 3,050 anggota yang akan bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.