Sabtu, 16 November 2019

Kehadiran Najib beri bayangan berita gembira buat BN di Tg Piai?

Bekas perdana menteri Najib Razak hadir memberi sokongan 
kepada calon BN di SMK Datuk Mohd Yunos Sulaiman pada hari 
mengundi PRK Tanjung Piai hari ini.
 
PEKAN NANAS: Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang sedang berjalan seolah-olah membayangkan berita gembira buat calon Barisan Nasional (BN) pada saat pengiraan undi malam ini.

Najib yang diiringi pengerusi BN Johor Hasni Mohamad turut disertai penyokong parti itu ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Yunos Sulaiman di sini.

Mereka melaungkan slogan “Bosku”, “Tolak PH” dan juga bertakbir.

Najib meluangkan masa lebih kurang 30 minit bersama penyokong BN dalam jarak lebih 100 meter dari pusat mengundi tersebut.

Semalam Najib berucap pada satu ceramah di Penerok bersama-sama timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dalam kempen terakhir mereka bagi membantu kemenangan calon BN, Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, pemimpin utama parti komponen PH tidak berada di Tanjung Piai untuk menyokong calon gabungan kerajaan, Karmaine Sardiri daripada PPBM.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim misalnya dilaporkan berada di Kedah, manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berada di Swedan.

Survei yang dijalankan dalam kalangan pengundi oleh beberapa pihak sebelum ini mendapati kemungkinan besar berlakunya peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRK Tanjung Piai.

Tinjauan melibatkan beberapa ratus pengundi pelbagai kaum, jantina, usia dan lokasi mengundi itu menunjukkan kemenangan selesa buat calon BN.

Selain itu, tinjauan juga mendapati perkembangan itu merupakan tanda sokongan akar umbi yang kuat kepada Umno di negeri Johor, walaupun ia tewas pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Ia turut merumuskan bahawa PH memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya umum sebelum ini berikutan kehadiran calon PAS yang memaksa pertandingan tiga penjuru antara tiga parti politik terbesar negara itu.

PAS kini bekerjasama dengan Umno dalam satu gabungan politik yang dinamakan Muafakat Nasional dalam usaha berperanan sebagai pakatan pembangkang untuk mencabar kerajaan PH.

Pemimpin PAS, termasuk presidennya Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, dan setiausaha agung parti itu Takiyuddin Hassan aktif berkempen menyokong calon BN sepanjang PRK ini.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Md Farid Md Rafik (PH-PPBM) memperoleh 39.7% undi (21,255), Wee (BN-MCA) 38.7% undi (20,731) dan Nordin Othman (PAS) 5.5% undi (2,962).

Pengundi berketurunan Melayu mewakili 56.8% dripada jumlah pengundi, Cina 41.64% dan India 1.01%.

Selain calon PH dan BN, PRK Tanjung Piai turut menyaksikan penyertaan calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menjangka 70% pengundi keluar mengundi dan keputusan pilihan raya diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam hari ini.

Tiada ulasan: