Tinjauan: BN dijangka menang selesa, undi Cina beralih
MALAYSIAKINI
Tinjauan sebuah badan tinjauan terkenal merumuskan BN akan memang selesa dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu ini.
Perkara itu, antaranya, disebabkan oleh peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN, menurut panel penyelidik Ilham Centre.
“Dalam
kajian lapangan ini, kami mengesan akan berlaku peralihan undi Cina ke
BN disebabkan beberapa faktor-faktor seperti kegagalan prestasi kerajaan
menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi kerajaan persekutuan yang
kurang memuaskan (59 peratus), prestasi kerajaan negeri yang kurang
memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding
zaman BN (60 peratus),” menurut laporan itu.
Panel
penyelidik itu disertai oleh Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim,
Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (bawah).
Kajian secara tatap muka itu diadakan pada 9 sehingga 11 November lalu dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.
Ia melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi
berdaftar Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan
lokaliti.
Kerusi parlimen itu mempunyai 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus pengundi Cina dan satu peratus lain-lain.
Dalam pilihan raya umum lalu, sebanyak 74 peratus pengundi Cina menyokong PH manakala 26 peratus menyokong BN.
Jumlah
sokongan pengundi Cina kepada PH di Tanjung Piai itu lebih kecil
berbanding di peringkat pusat dengan 94 peratus dan peringkat negeri (89
peratus).
“Ini membuktikan bahawa MCA mempunyai pendukung dan akar umbi yang kuat di Tanjung Piai,” menurut laporan itu.
Wee Jeck Seng ketika bertemu pengundi
Daripada aspek calon pula, responden melihat calon BN Wee Jeck Seng lebih unggul berbanding calon PH Karmaine Sardini.
Seramai 67 peratus responden bersetuju bahawa Wee mempunyai banyak jasa semasa menjadi wakil rakyat dan diterima baik penduduk.
Seramai 75 peratus responden yakin dengan beliau manakala hanya 24 peratus yakin pada Karmaine.
“Cuma
kekurangan Wee Jeck Seng ialah parti BN yang diwakilinya adalah
pembangkang,
kekurangan sumber dan kelihatannya jentera Umno tidak
sepenuhnya membantu kempen beliau namun ia langsung tidak menjejaskan
kredibiliti Wee Jeck Seng,” menurut laporan itu.
“Meskipun
Karmaine Sardini adalah calon yang mewakili parti pemerintah kerajaan
negeri mahupun kerajaan persekutuan, mempunyai latar belakang seorang
imam dan berkecimpung dalam bidang arkitektur, ternyata calon PH ini
gagal ditonjolkan oleh jentera PH dan dilihat sebagai sangat low profile dan tidak menonjol sepertimana Wee Jeck Seng.”
Berikut kesimpulan-kesimpulan lain tinjauan itu:
Pola
pengundian dalam pilihan raya umum lalu, yang menumbangkang BN, rapuh
dan tidak kekal kepada PH. Pencapaian Umno Johor berada pada tahap
cemerlang tetapi parti itu dihukum kerana imej bekas perdana menteri
Najib Razak.
Undi Melayu tidak berganjak manakala undi
PAS akan beralih pada BN. Walaupun terdapat elemen protes dengan
pemilihan calon MCA di peringkat awal, ia berjaya diredakan. Tinjauan
mendapati 94 peratus responden Melayu berkata akan mengundi BN dalam
pilihan raya kecil itu.
Walaupun kedua-dua jentera BN
dan PH tersusun, PH gagal bekerja dalam satu “ketumbukan yang
bersepadu”. Media sosial pula didominasi BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan