Khamis, 14 November 2019

Gerakan bertanding untuk serang MCA, kata Chong

 
 

PRK TG PIAI | Kurang 48 jam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon mendakwa Gerakan bertanding di kerusi itu bagi memecahkan undi Cina dan melemahkan MCA.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pekan Nanas pagi ini, Chong mempersoalkan niat Gerakan bertanding sama ada ia bertujuan untuk mensabotaj parti berkenaan.

Menurut Chong, Gerakan menyerang MCA sejak awal kempen dan tidak langsung menyentuh mengenai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga mendakwa empat lagi calon turut memberi tumpuan untuk menyerang calon MCA, Wee Jeck Seng.

"Tidak kira mereka Berjasa, PH atau Gerakan, mereka semua serang Wee sahaja. Kemenangan kita dalam bahaya.

"Mengapa tentang MCA sahaja? Adalah jelas Gerakan cuba memecahkan undi Cina dan mengurangkan sokongan kepada MCA, supaya Bersatu boleh menang.

"Saya rasa, Gerakan lebih seperti penyerang yang menyerang MCA dari sebelah, dan bukannya untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Apabila mereka tidak menyatakan pendapat terhadap pihak lawan yang begitu besar, ini sangat mencurigakan," kata Chong.

Pembangkang yang autonomi
 
Menurut Chong, sambutan orang ramai terhadap Wee pada minggu pertama kempen itu sangat menggalakkan.

Bagaimanapun, masuk minggu kedua, sambutan menjadi kurang memberansangkan disebabkan pelbagai serangan daripada PH dan Gerakan.

"Jika kamu mahu memberi pengajaran kepada PH, kamu perlu beri tumpuan kepada undi untuk MCA. Jika undi diberikan kepada Gerakan dan Berjasa, maka ia tidak akan memberikan kesan,"katanya.

Ketika dihubungi, Pengerusi Gerakan Dominic Lau berkata beliau percaya Chong tertekan dengan Gerakan.

Katanya sekiranya bukan Gerakan mengumumkan terlebih dahulu bertanding di Tanjung Piai, MCA mungkin tidak mempunyai peluang untuk bertanding di kerusinya.

Tambah Lau selagi MCA masih bersama BN, parti itu tidak akan mempunyai kuasa dan tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana perlu tunduk kepada 'abang besar' mereka iaitu Umno.

Sehubungan itu Lau menggesa pengundi Tanjung Piai mengundi pembangkang yang mempunyai 'autonomi'.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong, menerusi Facebook beliau mempersoalkan sama ada MCA berani untuk mengatakan Berjasa telah memecahkan undi Melayu atau sebaliknya.

PRK Tanjung Piai yang hari pengundiannya ditetapkan Sabtu ini akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Kerusi itu disokongkan berikutan kematian penyandanganya, Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.


Tiada ulasan: