Sabtu, 23 November 2019

2 isu Berjasa ketengahkan di Tg Piai dapat perhatian kerajaan

fazleen safina

 

Sepanjang kempen, penduduk terima agenda penyatuan Melayu Islam

BANGI – Presiden Berjasa, Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz berpuas hati walaupun tidak berjaya menawan Tanjung Piai, partinya tetap berbakti kepada penduduk kawasan itu menerusi isu-isu yang cuba disuarakan sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali panggilan Tok Badh mengakui sehabis daya berusaha membantu penduduk Tanjung Piai, menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka, sebagai kuasa pendesak.

Katanya, perkara pertama yang dititik beratkan oleh Berjasa di Tanjung Piai adalah isu nelayan.

“Berjasa berkempen selama dua hari berturut-turut membela nasib nelayan. Kami fokuskan perkara itu kepada media. Dan akhirnya Menteri Besar Johor umumkan akan memberi wang tunai RM1,000 kepada nelayan.

“Begitu juga dengan isu feri. Dua bulan perkhidmatan feri ditutup. Ketika hari Berjasa berkempen, feri sepatutnya dibuka tetapi tiada tindakan. Kebetulan hari sama, kami terserempak dengan pemandu teksi yang tersadai di bandar yang ketika itu langsung tiada pelanggan.

“Kami suarakan lagi dua perkara berkenaan kepada media. Juga dapat perhatian kerajaan. Di situ kita boleh lihat bahawa PH gagal menangani isu berkenaan,” katanya ketika bual bicara Cakap Serupa Bikin TV Pertiwi, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Tok Badh mengakui sepanjang pertemuan dengan rakyat di Tanjung Piai, ramai di yang mengadu terlalu kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Contohnya janji-janji kerajaan yang tidak terlaksana. Mereka sangat kecewa. Tetapi sebenarnya di Tanjung Piai ini banyak lagi isu yang perlu kita lihat walaupun mereka ‘offer material’,” katanya.

Selain itu, Tok Badh menyifatkan PRK Tanjung Piai bukanlah pilihan raya biasa seperti sebelum ini, kerana pengundi masih percaya kepada BN, walaupun PH telah menawarkan perkara material.

“Sebab BN sudah lama memerintah di situ dan mereka berterima kasih kepada BN.

“Tapi apa yang buat saya terharu ialah sepanjang dua minggu berkempen tiada satu pun pengundi pun yang berkata tidak kepada agenda yang kami bawa iaitu penyatuan Melayu dan Islam,” katanya.

Walaupun Berjasa kalah di Tanjung Piai, Berjasa tetap menang berprinsip dan bermaruah, nekad akan meneruskan agenda mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan sejak PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.


Tiada ulasan: