Rabu, 13 November 2019

PRK Tanjung Piai: Berilah sedikit ruang kepada jentera kempen semua pihak - Muhyiddin

Firdaus Azil, Astro Awani
PRK Tanjung Piai: Berilah sedikit ruang kepada jentera kempen semua pihak - Muhyiddin
Muhyiddin berkata pertimbangan itu perlu memandangkan semua jentera, baik Pakatan Harapan, Barisan Nasional, mahupun calon lain, perlu berjumpa masyarakat seramai mungkin untuk meraih undi. - Gambar fail
 
 
PONTIAN: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akur peruntukan undang-undang sedia ada mewajibkan apa jua bentuk kempen perlu permit, namun beliau meminta agar diberi kelonggaran sedikit sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata, pertimbangan itu perlu memandangkan semua jentera, baik Pakatan Harapan, Barisan Nasional, mahupun calon lain, perlu berjumpa masyarakat seramai mungkin untuk meraih undi.
 
Katanya lagi, beliau sudah menguruskan pilihan raya baik di peringkat negeri mahupun pilihan raya umum bertahun-tahun lamanya, dan ia tidak perlu sampai ke tahap memakai sistem perundangan yang terlalu ketat.

“Saya dah uruskan berpuluh-puluh PRK, saya lihat setiap PRK itu tidak ada syarat terlalu ketat. Kerana waktu berkempen sudah bermula dan masing-masing sudah berkempen demi menarik sokongan pengundi.
 
“Justeru itu kita harap polis walaupun di bawah bidang tugas saya (selaku Menteri Dalam Negeri), tapi yang berkuasa di peringkat daerah ini akan lebih bertimbang rasa, asalkan tidak timbul pergaduhan,” katanya kepada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini PH sudah mengenal pasti sejumlah pengundi atas pagar yang pada kiraannya menjangkau setinggi 12 peratus dari jumlah pengundi di Tanjung Piai.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, jenteranya akan cuba berjumpa dan meyakini mereka bagi memastikan kemenangan ke atas Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini. 
 
 

Tiada ulasan: