Sabtu, 16 November 2019

Gerakan kesal peraih undi BN, PH berkempen hari mengundi

MALAYSIAKINI
 
 

PRK TG PIAI | Kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai berakhir tepat jam 12 tengah malam tadi, namun pagi ini kelihatan peraih undi begitu asyik memancing undi di pusat-pusat pengundian.

Baik peraih undi dari Pakatan Harapan (PH) mahu pun BN, masing-masing berdiri di bahu jalan untuk memancing undi pengundi di SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas.

Suasana menjadi hangat apabila kelihatan peraih undi BN yang ditempatkan lebih dekat dengan pusat pengundian melaungkan nama dan nombor calon mereka.

"Nombor dua" "undi BN" dan "Pakatan hancing"," kata mereka dalam bahasa Cina.

Peraih undi PH pula kelihatan membalas laungan dengan "penjara" dan "Sungai Buloh", dipercayai merujuk kepada kes perbicaraan membabitkan bekas pengerusi BN, Najib Razak yang sedang berlangsung di mahkamah.

Selain itu, perkara yang sama dilakukan peraih undi BN di SK Serkat, Pontian dan SK Telok Kerang, Telok Kerang. Namun berbeza dengan kempen peraih undi dari PH yang kelihatan agak perlahan.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam ketika ditemui pemberita di luar perkarangan SJK (C) Yu Ming sekitar jam 9 pagi berkata beliau kecewa dengan apa yang berlaku dan menyalahkan BN kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pada masa itu, penyokong PH berkumpul di luar sekolah berkenaan dan memulakan laungan.
"Setiap pusat pengundian yang saya kunjungi sama. Mereka melaungkan 'undi nombor dua'. Suruhanjaya Pilihan Raya cuba menyuraikan mereka tetapi mereka akan kembali 15 minit kemudian," kata Wendy.

Malah, Wendy turut mendakwa kehadiran peraih undi BN di SMK Yunos hanya berada dalam lingkungan 50 meter dari pusat pengundian.

Mengulas lanjut, Wendy berkata parti bertanding sepatutnya mematuhi peraturan sedia ada.
"Apabila saya memasuki pusat-pusat pengundian, saya hanya berjabat tangan, saya langsung tidak memperkenalkan diri saya.

"Jika calon kamu cukup popular, kenapa berkempen pada saat-saat akhir," soalnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau yang mengiringi Wendy, berkata partinya menghormati undang-undang dan tidak akan terlibat dalam amalan sedemikian.

Bagaimanapun, Dominic berkata beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas PRK itu.


Tiada ulasan: