Jumaat, 15 November 2019

PRK Tg Piai: Pihak terdesak sebar propaganda, fitnah PAS

HARAKAHDAILY 



TANJUNG PIAI: Pihak tertentu ternyata sudah ketandusan modal untuk menyakinkan rakyat supaya terus memberi sokongan dan undi kepada mereka pada PRK P.165 Tanjung Piai apabila hanya membangkitkan sensitiviti kaum dan menyebar fitnah.

Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Dr Mahfodz berkata, pihak tersebut ternyata kepanasan dan berkempen secara tidak bertanggungjawab serta dilihat terdesak hinggakan PAS yang tidak bertanding tetapi menjadi sasaran fitnah.
“Untuk rekod, sekurang-kurangnya tiga siri fitnah kami terima sepanjang kempen berlangsung. Bermula dengan satu keratan akhbar Berita Harian 9 November; kononnya suara pimpinan Pemuda PAS tidak selesa dengan BN.

“Konon ada pertikaian mengenai Hudud dan RUU355. Suka dipertegaskan, ini bukan suara Pemuda PAS. Begitu juga tular menyatakan konvoi Pemuda PAS dari Pahang kononnya kesal kerja sia-sia bersama MCA dan BN.

“Kami telah siasat dan disahkan oleh Dewan Pemuda PAS Pahang tiada konvoi didakwa itu,” terang beliau yang turut menafikan tularan mengenai Pemuda PAS Kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Piai tidak menyokong calon PH.

Sebaliknya tegas Nawfal, para Pemuda PAS dari seluruh kawasan negeri Johor termasuk dari negeri-negeri lain datang membantu gerak kerja kempen calon MCA-BN secara bersepadu untuk memenangkan Dato’ Dr Wee Jeck Seng.

Hal tersebut juga menurutnya, dibuktikan dengan kehadiran petugas Pemuda PAS di program-program kempen BN yang sekali gus menunjukkan kerjasama Muafakat Nasional utuh hingga ada pihak merasa begitu tergugat lalu berkempen secara propaganda.

Katanya, beliau percaya suara anak muda bakal menjadi penentu penting pada PRK ini yang sekali gus menyebabkan golongan ini menjadi sasaran kempen tidak beretika pihak terbabit. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: