Oleh Fazleen Safina
Dianggap sama macam BN gagal dengar denyut nadi rakyat
BANGI – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Tanjung Piai merupakan satu amaran supaya menilai segera
beberapa perkara yang dilihat sebagai kritikal.
Penganalisis politik Universiti Putra
Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, masalah pengangguran
antara yang perlu diambil perhatian kerana dijangka 50,000 orang
berdepan masalah berkenaan menjelang tahun 2020.
Beliau berkata, apa yang mengejutkan adalah kira-kira 30,000 daripada 50,000 penganggur adalah dalam kalangan graduan.
“Selain itu, dari segi pergelutan ekonomi juga kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian secara komprehensif.
“Mereka harus memastikan bahawa pengagihan ekonomi sama rata di antara semua kaum mengikut Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Begitu juga dengan isu-isu semasa
seperti masyarakat Melayu dan integriti nasional. Perkara seperti ini
yang membawa impak kepada PRK di kalangan pengundi,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
PRK Tanjung Piai semalam memihak kepada Barisan Nasional (BN) setelah memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi.
Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng
menewaskan pencabar terdekat dari PH, Karmaine Sardini yang memperoleh
10,380 undi serta empat pencabar lain.
Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata,
konflik dalaman yang berlaku dalam parti komponen PH juga menjadi faktor
mengapa rakyat menolak mereka pada pilihan raya, semalam.
“Apa yang rakyat nampak sekarang ini adalah tiada perbezaan antara kerajaan yang dipimpin BN dan juga PH.
“Isu-isu kontroversi seperti ahli
Parlimen yang berucap dalam masjid telah dimurkai oleh Sultan Johor dan
ada juga ahli Parlimen daripada DAP yang menggesa Perdana Menteri
berundur.
“Jadi, kalau kita perhatikan pun, mereka tidak bersungguh-sungguh untuk menggerakkan jentera dalam pilihan raya,” katanya.
Pada masa sama, Dr Syed Agil berkata,
walaupun pentadbiran kerajaan PH masih baru, tetapi manifesto pilihan
raya harus dilaksanakan secara efisien dan bijak tanpa kompromi.
Beliau berkata, manifesto yang tidak dilunaskan sehingga sekarang menyebabkan rakyat marah sekali gus menolak PH.
Katanya lagi, setiap parti politik harus memain peranan mendengar rintihan rakyat dengan cara memenuhi manifesto mereka.
“Rakyat Malaysia sekarang jenis yang bersuara, berkebolehan memimpin serta membuat keputusan.
“Kita dapati kemenangan diperoleh BN pada
PRK kali ini adalah datang daripada rakyat yang tidak berpuas hati
terhadap apa yang dilaksanakan PH, yang juga tidak memenuhi apa yang
mereka mahukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan