Sunday, December 26, 2021

Penuntut GiatMara, IKM baiki pendawaian kediaman mangsa banjir

 zuhayati

Lokasi tumpuan di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Padang Jawa

BANGI – Kira-kira 280 pelatih GiatMara dan Institut Kemahiran Mara (IKM) digerakkan bagi membantu kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik di kediaman mangsa banjir.

Kesemua pelatih akan membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lokasi tumpuan sukarelawan itu adalah sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Padang Jawa, Klang.

“Kita memahami kesukaran penduduk berkaitan pendawaian elektrik yang rosak dan berhadapan risiko selepas rumah ditenggelami banjir.

“Mara menggerakkan inisiatif ini yang terdiri daripada pelajar Program Diploma Kompetensi Elektrik (DCS) dan Sijil Teknologi Kimpalan (STK),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pihaknya turut menggerakkan lebih 300 sukarelawan terdiri daripada warga kerjanya, anak syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar bagi membantu mangsa banjir di Selangor, Pahang serta Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Mara juga mengenal pasti 2,008 warga kerja dan penuntutnya yang menjadi mangsa banjir.

Kesemua yang terlibat katanya akan diberikan bantuan segera termasuk wang tunai, makanan, pakaian dan keperluan lain.

No comments: