Wednesday, December 1, 2021

KKM kemas kini negara lapor Omicron setiap hari – Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media di Kementerian Kesihatan, Putarajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyenaraikan negara yang melaporkan kes varian baharu Omicron secara harian kepada kementerian dan agensi berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, senarai itu juga termasuk negara yang berisiko tinggi berlaku penularan varian Omicron.

Kata beliau, senarai itu akan diedarkan kepada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara.

Buat masa ini, Khairy berkata, sebanyak lapan negara telah tersenarai sebagai negara berisiko tinggi dengan Malawi merupakan negara terbaharu.

Sebelum ini, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe sekali gus melakukan sekatan perjalanan sementara ke atau dari negara berkenaan.

“Mungkin ada persoalan mengapa hanya negara yang diumumkan sahaja. Di sini, penilaian KKM mengambil kira sama ada kewujudan Omicron di negara tersebut adalah daripada kes import atau pun daripaa kes komuniti yang berada dalam masyarakat.

“Kedua adalah pengesanan dari segi penilaian risiko sama ada negara tersebut berisiko tinggi berlaku penularan besar dalam tempoh masa terdekat.

“Ketiga mengambil kira tahap vaksinasi negara tersebut, jika tahap vaksinasi rendah dan sudah ada penularan komuniti, maka KKM senaraikan negara itu tetapi kalau kes masih lagi import dan bilangannya kecil serta tahap vaksinasi tinggi, kita akan buat penilaian risiko untuk tidak masukkan engara tersebut dalam negara berisiko tinggi.

“Namun begitu, kita akan laksanakan setiap hari oleh Bahagian Kawalan penyakit KKM,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setakat ini tiada sekatan kemasukan bagi warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang yang datang dari negara disenaraikan berisiko tinggi Omicron.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pengembara tersebut perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

Selain itu, pengembara juga perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR 72 jam sebelum berlepas, semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara dan pada hari ke-10 tempoh kuarantin wajib.

Beliau berkata, penilaian risiko pada hari ke-14 tempoh kuarantin wajib dan akan dilanjutkan tempoh kuarantin sekiranya bergejala.

“Warganegara Malaysia yang merancang melawat ke negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan Omicron seperti disenaraikan adalah tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.

“Kerajaan juga bersetuju menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan atau negara berisiko tinggi berlaku Omicron.

“Penangguhan ini adalah sehingga gambaran lebih jelas diperolehi mengenai penularan varian Omicron di peringkat global,” jelas beliau.

No comments: